Skip to main
Logo Malaysiakini

Kematian Ganapathy: Polis jawab kritikan siasatan pada wartawan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pihak berkuasa mempertahankan siasatan terhadap petugas media dalam isu kematian dalam tahanan melibatkan peniaga susu lembu A Ganapathy ketika dalam tahanan polis Gombak.

Menjawab soalan media, Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed berkata polis hanya mengambil keterangan kerana terdapat laporan polis dibuat.

Justeru, katanya, tidak timbul isu wartawan menjadi mangsa.

“Tak ada,” katanya apabila diminta memastikan bahawa tiada wartawan dijadikan mangsa dalam isu itu.

“Kalau wartawan kita just panggil siasatan dah menjadi mangsa, berapa ramai orang (awam yang dipanggil siasatan) yang jadi victim?

“Sebab bila kita ambil siasatan, orang yang buat report pun kita ambil statement, orang yang ditohmah pun kita ambil statement.

“Semua yang berkaitan kita akan ambil rakaman percakapan. Kita semua tertakluk bawah undang-undang,” katanya dalam sidang media di IPK Selangor hari ini.

Pada 18 Mei lalu, polis memanggil dua wartawan Malaysiakini bagi memberi keterangan berhubung tiga laporan yang memetik kenyataan keluarga Ganapathy, peguam dan MIC.

Difahamkan kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan kepada orang awam.

Malaysiakini juga difahamkan laporan polis dibuat oleh seorang pegawai penyiasat yang mengendalikan siasatan kes kematian Ganapathy.

Siasatan itu mendapat kecaman pelbagai pihak termasuklah badan hak asasi antarabangsa Amnesty International Malaysia dan Human Rights Watch (HRW) yang mengkritik siasatan jenayah yang melibatkan wartawan, aktivis yang berdemonstrasi dan pengkritik.

Amnesty antaranya berkata media harus diperbolehkan melaporkan kes sebegitu kerana orang ramai mempunyai hak untuk tahu.

HRW pula berkata, dalam amalan demokrasi yang menghormati kebebasan bersuara, kerajaan tidak boleh memandang buruk tugas kewartawanan.