Skip to main
Logo Malaysiakini

Berhak kritik k'jaan tapi rakyat juga wajar muhasabah - Permaisuri Johor

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah menitahkan rakyat, agar berhenti menuding jari kepada mana-mana individu atau pihak berkuasa, berikutan peningkatan kes dan kematian akibat COVID-19, sehingga mengakibatkan sekatan pergerakan penuh dikuatkuasakan.

Sebaliknya Raja Zarith Sofiah mencadangkan, agar mereka menghulurkan bantuan kepada hospital-hospital, petugas barisan hadapan atau masyarakat yang ditimpa kesusahan, dalam apa jua bentuk bagi meringankan beban ditanggung.

Titah baginda, mencari kesalahan semata-mata tidak akan mengurangkan bilangan pesakit di unit rawatan rapi (ICU), atau mengurangkan tekanan dihadapi keluarga yang terpaksa bersempit dalam flat satu bilik, mahupun mereka yang kehilangan pendapatan dan buntu mencari nafkah untuk keluarga.

“Walaupun rakyat berhak mengkritik dan mempersoalkan tindak tanduk keputusan diambil kerajaan, kita juga wajar bermuhasabah tentang kemampuan sendiri. Jangan lupa ada antara kita perlu bertanggungjawab atas keadaan sekarang ini,” titah baginda dalam kenyataan dimuat naik di Facebook The Royal Johor, hari ini.

Baginda bertitah, bukan semua rakyat merupakan pakar perakaunan, ekonomi atau perubatan bertauliah yang kemahirannya diperlukan dalam pengurusan pandemik, malah tiada siapa pun di dunia juga mempunyai pengalaman dalam pengurusan pandemik pada skala dihadapi sekarang.

“Pihak hospital merupakan entiti paling terkesan. Lihatlah kontena terpaksa diubah suai menjadi bilik mayat, serta cabaran lain dilihat sepanjang tahun lalu. Apa salahnya kita tunjukkan walaupun sedikit, penghargaan atas segala pengorbanan mereka dalam merawat ataupun menyelamatkan pesakit, dari ambang kematian?

“Keluarga saya akan meneruskan bantuan dilaksanakan sekian lama kepada golongan susah, kehilangan pekerjaan atau bergaji kecil, yang kadang-kala bersamaan dengan nilai sekali makan di restoran Jepun mewah.

Mungkin bantuan kami kecil di mata sesetengah orang, tetapi kami tetap cuba membuat terbaik,” titah baginda.

Raja Zarith Sofiah bertitah, pandemik juga mewujudkan jurang perbezaan antara golongan hidup senang dan kurang bernasib baik, selain menampakkan jurang antara mereka yang sanggup dan sudi membantu secara sukarela, dan mereka yang selesa di belakang papan kekunci dengan mencari kesalahan tidak berkesudahan.

“Ketakutan bersama tekanan dan kemarahan telah membangkitkan pelbagai reaksi dalam kalangan masyarakat - menuding jari menyalahkan pelbagai pihak daripada orang awam dan pengusaha restoran, sehinggalah para pegawai kerajaan, malah institusi kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan itu sendiri.

“Kita mesti sedar bahawa semua mempunyai peranan untuk dimainkan. Pokok pangkalnya, pepatah lama 'bersatu teguh, bercerai roboh' tetap terpakai, dalam waktu yang cukup menakutkan dan tidak menentu kini,” titah baginda.

- Bernama