Skip to main
Logo Malaysiakini

Kula mahu kerajaan tubuh RCI siasat kes kematian dalam tahanan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kulasegaran menggesa kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja (RCI) bagi menyiasat isu kematian dalam tahanan selepas berlaku kes terbaru di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan semalam.

Kata bekas menteri sumber manusia itu, kematian Umar Faruq Abdullah @ Hemananthan adalah kes ketiga seumpamanya dilaporkan dalam tempoh 15 hari.

Dua individu lain yang dilaporkan mati dalam tahanan polis sebelum ini ialah S Sivabalan pada 20 Mei dan Surendran Shanker seminggu selepas itu.

“Jangan dilupakan kematian tragik penjual susu lembu, A Ganapathy yang meninggal di hospital pada 18 April.

"Ada banyak lagi (kematian) sebelum mereka yang masih belum dipertanggungjawabkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Polis Selangor Arjunaidi Mohamed hari ini memberitahu media Umar Faruq meninggal dunia selepas cuba melarikan diri dengan terjun melalui tingkap bangunan ketika diiringi pegawai penyiasat untuk ke lokap.

“Semasa pegawai penyiasat kes megiringi si mati untuk ke lokap dari pejabat - semasa dia menuruni tangga dari tingkat dua ke tingkat satu - tahanan menolak pegawai penyiasat berkenaan dan pada masa sama melarikan diri ke ke arah tingkap tangga yang terbuka dan seterusnya terjun ke bawah.

“Dia jatuh di luar konkrit pemisah antara tingkat satu dan tingkat dua dan selepas itu jatuh di sebuah motosikal yang di ada parkir tar,” katanya yang menjelaskan si mati mengalami kecederaan pada tempurung kepala dan muka.

Sudah sampai masa

Menurut Kulasegaran jumlah kematian dalam tahanan membabitkan idnvidu berbangsa India membimbangkan.

Katanya, orang India hanya 6.9 peratus daripada kira-kira 30 juta rakyat Malaysia, tetapi berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar kematian dalam tahanan kaum itu secara relatif lebih tinggi berbanding kaum-kaum lain.

Dia memetik laporan daripada NGO Suara Rakyat Malaysia (Suaram) pada 2017 bahawa hampir 55 peratus kematian dalam tahanan polis yang dicatatkan mereka adalah daripada kaum India.

“Bila ini akan berhenti? Kenapa semua lelaki ini daripada kaum India? Bolehkan kerajaan PN memberikan jawapan? Kematian tragik ini terlalu kerap berlaku," katanya.

Kulasegaan yang juga naib pengerusi DAP kebangsaan itu menggesa polis tampil menjelaskan insiden berkenaan, selain mendesak Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk tidak mengelak daripada isu hak asasi manusia seperti itu.

“Sudah sampai masanya untuk RCI ditubuhkan bagi menyiasat semua kematian dalam tahanan ini. Isu ini (bersifat) sistemik dan memerlukan penyiasat luar yang tidak berpihak,” katanya.

Tambah Kulasegaran, Malaysia boleh mencontohi AS dalam menangani kes kematian George Floyd apabila kerajaan negara itu menubuhkan suruhanjaya bebas pada 27 April dan mengumumkan dapatan mereka bersama penerbitan laporan terperinci yang mendakwa wujudnya rasisme bersistem dalam polis ke atas golongan kulit hitam.

Zaid Malek

Penyelaras Lawyers for Liberty Zaid Malek pula menyifatkan kematian dalam tahanan sebagai satu trend yang membimbangkan dan mendesak tindakan segera daripada kerajaan.

Namun katanya, setakat ini, kerajaan - khususnya Kementerian Dalam Negeri - gagal memberikan penjelasan kukuh atau mengambil tindakan segera bagi mencegah kes seumpama itu berulang.

“Polis tak boleh diharapkan untuk menyiasat sendiri kematian dalam sendiri kerana wujud konflik kepentingan yang jelas, yang akan menimbulkan keraguan terhadap ketelusan siasatan mereka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Integriti sistem keadilan dalam bahaya

Malah, kata Zaid, polis juga selalu mengambil sikap defensif dalam kes kematian dalam tahanan dengan menafikan kebertanggungjawaban mereka meskipun siasatan belum lagi dirumuskan selain mengancam orang awam daripada mengulas isu berkenaan.

“Contohnya amaran yang dikeluarkan ketua polis daerah Gombak selepas kematian Ganapathy bahawa sesiapa yang membuat spekulasi ke atas kematian itu akan dipanggil untuk disoal,” katanya lagi.

Justeru, Zaid menggesa kerajaan kembali mempertimbangkan penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) yang ditarik balik rang undang-undangnya (RUU) pada tahun lepas.

“Kami mendesak kerajaan untuk melihat semula RUU IPCMC 2019 yang dibatalkan dan menguatkuasakannya.

"Dengan pelaksanaan darurat (kini), kerajaan ada kuasa untuk membawa RUU IPCMC 2019 dalam bentuk orninan untuk dilaksanakan segera.

“Ia mestilah satu RUU yang berkesan, kuasa IPCMC tak boleh dicairkan, ia mesti mampu menyiasat secara bebas dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung penemuan mereka ke atas mana-mana pegawai yang didapati bersalah atas salah laku atau tindakan bertentangan undang-undang," katanya.

Penyiasatan yang bebas dan tidak berpihak, menurut Zaid, bukan saja akan memberikan keadilan kepada mangsa, malah turut kepada polis.

Dia menggesa kerajaan mengambil semua langkah wajar bagi memastikan kes kematian dalam tahanan dihapuskan, dan memastikan ia mampu mengambil tindakan tegas sekiranya kematian seumpama itu tetap berlaku.

“Integriti sistem keadilan dalam bahaya, semakin lama kerajaan melengah-lengahkan hal ini, bilangan kematian dalam tahanan mungkin akan terus meningkat,” tambahnya lagi.