AS kecam pesawat tentera China terbang di ruang udara Malaysia
Tentera Udara Amerika Syarikat (AS) di Pasifik pada Jumaat mengutuk insiden pencerobohan pesawat-pesawat tentera China terbang di ruang udara perairan Malaysia dan Taiwan.
Komander tentera AS itu, Jeneral Kenneth Wilsbach dipetik AFP berkata tindakan China itu akan meningkatkan ketegangan di Laut China Selatan.
Menurutnya, tindakan pesawat masuk ke ruang udara Malaysia dan peningkatan pencerobohan ke zon pertahanan udara Taiwan "menambah senarai" kegiatan China "yang tidak menstabilkan" rantau itu.
"Kami silap perhitungan di sekitar rantau itu apabila berlaku aktiviti memasuki ruang udara (negara) orang yang tidak patut dibuat," kata Wilsbach.
Berdepan keupayaan ketenteraan China yang meningkat secara dramatik, Wilsbach juga berkata Angkatan Udara AS ingin menyebarkan aset di sekitar rantau itu dan jauh dari pangkalan besar, untuk menjadikan mereka lebih sukar untuk disasarkan.
"Kami telah melihat setiap kawasan konkrit di rantau ini dan kami telah menganalisisnya dan menilai kemungkinan penggunaannya sebagai pengkalan untuk beroperasi," katanya lagi, lapor AFP.
"Kami mempunyai pangkalan data maklumat yang signifikan tentang setiap lapangan terbang, banyak di antaranya tidak sesuai untuk keperluan kami, tetapi banyak juga yang sesuai."
Susulan insiden pesawat tentera China yang terbang secara mencurigakan di ruang udara Malaysia pada 31 Mei lalu, jurucakap Kedutaan Besar China berkata pesawat berkenaan sedang menjalani latihan dan tiada negara yang dijadikan sasaran.
"Menurut undang-undang antarabangsa yang relevan, pesawat tentera China bebas melakukan lintas terbang di ruang udara yang relevan.
"Semasa latihan ini, pesawat tentera China mematuhi undang-undang antarabangsa yang berkenaan dan tidak memasuki ruang udara wilayah negara lain," menurut jurucakap itu pada 1 Jun lalu.
Jurucakap itu menambah bahawa China dan Malaysia adalah jiran yang mesra, dan China bersedia untuk meneruskan rundingan mesra dua hala dengan Malaysia untuk bersama-sama menjaga keamanan dan kestabilan serantau.
Menteri Luar Hishammuddin Hussein pada 1 Jun pula berkata pendirian Malaysia dalam hal ini jelas iaitu mempunyai hubungan diplomatik yang mesra dengan mana-mana negara tidak bermaksud akan menjejaskan keselamatan negara.
Katanya, Kementerian Luar akan mengeluarkan nota bantahan diplomatik dan akan memanggil Duta Besar Republik Rakyat China ke Malaysia untuk memberikan penjelasan.
TUDM dilaporkan telah memintas 16 pesawat tentera China yang terbang di ruang udara Zon Maritim Malaysia di Kota Kinabalu, Sabah itu.
Panglima TUDM, Jeneral Ackbal Abdul Samad berkata insiden pesawat tentera udara China masuk ruang udara negara merupakan perkara serius berkaitan ancaman kedaulatan negara dan keselamatan penerbangan.
Kata Ackbal lagi insiden tersebut telah dikendalikan oleh TUDM khasnya dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) amnya berlandaskan undang-undang dan peraturan penerbangan antarabangsa International Civil Aviation Organization (ICAO) serta Strategi Pertahanan Udara Nasional (SPUN).
Pada tahun lalu, Laporan Ketua Audit Negara (KAN) Siri 3 mendedahkan kapal Pasukan Pengawal Pantai China (CCG) dan Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (Plan) direkod menceroboh perairan Malaysia sebanyak 89 kali antara 2016 dan 2019.
Ketua audit negara juga mengambil maklum kerajaan China tidak menghiraukan nota bantahan berhubung pencerobohan itu.
Menurut laporan itu, kehadiran CCG dan Plan untuk menunjukkan tuntutan China terhadap Laut China Selatan, khususnya di kawasan Beting Patinggi Ali, iaitu kira-kira 84 batu nautika dari pantai Miri, Sarawak dan sekitar 1,600km dari tanah besar China.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai