Pemuda PKR sokong gesaan Azmin letak jawatan, kritik Zuraida
Pemuda PKR (AMK) menyasarkan dua bekas pemimpin parti itu yang bertukar menjadi menteri pentadbiran Perikatan Nasional.
Ketua Pemuda PKR, Akmal Nasir pada ucapan dasar kongres tahunan sayap itu hari ini menyorot dakwaan kelemahan Mohamed Azmin Ali dan Zuraida Kamaruddin dalam memainkan peranan menteri mereka sekarang.
Akmal juga menyokong petisyen dalam talian yang mendesak peletakan jawatan Azmin sebagai menteri perdagangan antarabangsa dan industri kerana didakwa gagal menjalankan tugasnya dan mengakibatkan perintah kawalan pergerakan yang 'setengah masak'.
"Petisyen (terhadap) Tajuddin kena letak jawatan pengerusi Prasarana (dapat 139,000 tandatangan warganet).
"Hari ini kita tengok Azmin letak jawatan, 172,000.
"Jadi saya selalu pengerusi AMK serta mewakili rakyat pengundi Johor Baru, saya jemput rakan-rakan semua untuk sama menyokong.
"Kita pastikan petisyen ini kalau kita boleh capai 200,000 kita tengok perdana menteri berani suruh Azmin letak jawatan atau tidak," kata Akmal.
Azmin dikritik kerana sejumlah besar perniagaan - terutamanya sektor pembuatan - diizinkan beroperasi sepanjang tempoh 'total lockdown'.
Malaysiakini sebelum ini melaporkan beberapa perkhidmatan tidak penting telah diluluskan tetapi sektor penting seperti kedai makanan dan minuman bergelut dengan laman web CIMS 3.0 yang tidak stabil.
Sementara itu, Akmal menekankan kebimbangan mengenai beban kewangan yang dihadapi oleh belia, termasuk pembeli projek perumahan PR1MA di bawah bidang kuasa Zuraida.
Dia berkata walaupun Zuraida telah mengekalkan portofolioya sejak era pemerintahan PH namun dia masih gagal menangani masalah yang didakwa itu.
"Ramai yang terpedaya kerana ingatkan projek yang didokongi oleh kerajaan tidak akan menghadapi masalah.
"Sebaliknya, ada projek-projek PR1MA terbengkalai dan sakit yang menyebabkan mereka terpaksa mula membayar bank dalam keadaan rumah yang bertahun-tahun tidak siap.
"Tarikh siap (yang masih tak siap-siap) ditukar sesuka hati, dan ada pembeli mengadu berjumpa YB menteri pun hanya buat sakit hati.
"Bukan apa, satu-satunya menteri yang memegang portfolio sama iaitu Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, sudah tiga tahun tetapi dilihat tidak berupaya menyelesaikan isu rumah mampu milik," kata Akmal.
Katanya, AMK terkesan dengan keluhan dan rintihan mereka yang sangat mengharapkan agar ada pihak yang berani tampil membela hak mereka dalam isu rumah ini.
Menurut Akmal, sebaik wabak Covid-19 reda, AMK akan mengadakan jelajah di seluruh negara untuk mendedahkan projek perumahan PR1MA yang bermasalah ini.
Bagi meneruskan kelangsungan perjuangan PKR, Akmal menggesa anak-anak muda yang berpotensi perlu segera dikedepankan terutama dalam menghadapi PRU-15 nanti.
"Ini perlu diambil serius oleh kepimpinan parti terutama sekali untuk mendapatkan kembali kerusi-kerusi yang dikhianati dan menawan kerusi yang belum dimenangi.
"Pemilihan calon perlulah lebih ketat, individu yang diragui kesetiaan kepada perjuangan reformasi ini perlulah ditolak sama sekali, kita tidak mahu pisang berbuah dua kali," tegasnya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai