PM minta JKJAV kaji cadangan pendaftaran automatik vaksin
Bagi memastikan lebih ramai rakyat divaksin menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Perdana Menteri Muhyiddin Yassin meminta Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) melihat semula proses pendaftaran termasuk cadangan melaksanakannya secara automatik.
Perdana Menteri berkata beliau juga mendengar keluhan daripada penduduk di luar bandar, kampung-kampung dan pedalaman terutamanya warga emas yang sukar membuat pendaftaran dan menerima vaksin.
"Untuk itu saya mengarahkan semua kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat agar menggunakan semua aset kerajaan bagi mempermudahkan mereka mendapat vaksin," katanya menerusi ucapan berhubung perkembangan PICK disiarkan di stesen televisyen tempatan hari ini.
Setakat semalam, seramai 1,127,336 individu melengkapkan dua dos vaksin Covid-19.
Mengambil maklum keresahan ramai yang masih belum menerima tarikh janji temu untuk menerima vaksin masing-masing, Muhyiddin turut mengarahkan JKJAV memastikan mereka yang telah mendaftar melalui semua platform mendapatkannya secepat mungkin.
Beliau berkata sehingga hari ini hampir 13 juta individu mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin Covid-19, iaitu hanya 51 peratus daripada jumlah keseluruhan yang layak menerimanya.
Dalam pada itu, Muhyiddin turut menyeru rakyat supaya tampil sebagai sukarelawan membantu melancarkan proses pemberian vaksin.
Unit vaksinasi bergerak
Beliau berkata golongan belia serta badan bukan kerajaan dialu-alukan untuk menyumbang tenaga dan masa bagi menjayakan program vaksinasi terbesar dalam sejarah negara.
"Penglibatan dan sokongan semua pihak amat diperlukan dalam pendekatan whole of government dan whole of society untuk kita mencapai 80 peratus yang disasarkan untuk membentuk imuniti berkelompok," katanya.
Menyentuh mengenai pencapaian program imunisasi itu yang bermula pada 24 Feb lalu, perdana menteri berkata suntikan vaksin harian kini berjaya ditingkatkan kepada kira-kira 100,000 sehari berbanding 5,000 hingga 8,000 pada permulaan program berkenaan.
Muhyiddin berkata kerajaan memberikan lebih tiga juta suntikan dos vaksin dengan lebih dua juta individu menerima satu suntikan dos vaksin Covid-19, sekali gus menjadikan kadar vaksinasi dos pertama Malaysia kini adalah antara tertinggi di Asia Tenggara.
Beliau berkata Malaysia akan menerima kira-kira 16 juta dos vaksin Covid-19 untuk tempoh dua bulan akan datang dan dengan pertambahan bekalan itu, kerajaan menyasarkan kadar vaksinasi harian mencecah 150,000 pada bulan ini dan akan terus meningkat.
"Lebih 280 pusat pemberian vaksin (PPV) sedang beroperasi di seluruh negara kini dan dijangka lebih 300 PPV lagi akan dibuka secepat mungkin," katanya.
Sementara itu, bagi memastikan tiada yang ketinggalan dalam PICK, beliau berkata kerajaan melancarkan unit vaksinasi bergerak ke kampung-kampung dan kawasan pedalaman untuk memudahkan proses tersebut ke atas penduduk kampung, Orang Asli, warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan gelandangan.
Perdana menteri berkata usaha itu tidak dapat dijayakan tanpa perancangan rapi kerajaan dan pengorbanan petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang terlibat.
“Daripada JKJAV, pemvaksin ataupun vaccinators, doktor, jururawat, sehinggalah anggota PDRM, ATM, Rela, APM dan sukarelawan, syabas dan terima kasih atas dedikasi dan kerja keras saudara-saudari bagi memastikan program vaksinasi terbesar dalam sejarah kita ini berjaya dilaksanakan.
"Kepada mereka yang telah menerima vaksin dalam fasa pertama dan kedua program imunisasi, terima kasih juga saya ucapkan kerana telah memainkan peranan anda dalam usaha mengekang pandemik ini," katanya.
Beliau menegaskan sebagai kerajaan yang prihatin, kerajaan sentiasa mendengar keluhan dan maklum balas rakyat dan akan sentiasa meningkatkan keupayaan dari segi perancangan, kapasiti dan tenaga kerja bagi mencapai objektif utama sasaran iaitu imuniti berkelompok.
Perdana menteri berkata kerajaan komited dan terus berusaha sebaik mungkin bagi memastikan program vaksinasi berjalan dengan lancar dan teratur.
“Saya akui masih terdapat kelemahan yang perlu diperbaiki dan saya memberi komitmen bahawa kerajaan akan sentiasa menambah baik program ini dari semasa ke semasa,” katanya.
Mengikut perancangan program imunisasi itu, tempoh pelaksanaan fasa pertama pemberian vaksin yang bermula Februari hingga April lepas melibatkan 500,000 anggota barisan hadapan termasuk petugas kesihatan.
Fasa kedua bermula April hingga Ogos ini pula membabitkan 9.4 juta warga emas, kumpulan rentan dan OKU manakala fasa ketiga dijadual pada Mei tahun ini hingga Februari 2022 melibatkan individu 18 tahun dan ke atas, warganegara dan bukan warganegara, dengan sasaran 13.7 juta orang atau lebih.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai