Skip to main
Logo Malaysiakini

PdPR diteruskan selama 25 hari

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kerajaan akan meneruskan sesi persekolahan secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selepas sesi persekolahan dibuka semula pada 13 dan 14 Jun ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Radzi Md Jidin, berkata sesi PdPR itu akan berlangsung selama 25 hari sebelum kerajaan menilai semula kesesuaian untuk mengadakan sesi persekolahan secara bersemuka bergantung kepada situasi Covid-19.

Katanya, ketetapan itu turut terpakai untuk sekolah swasta, antarabangsa dan ekspatriat yang berdaftar dengan Kementerian.

Radzi berkata, sesi PdPR akan berlangsung untuk tempoh 25 hari sebelum cuti pertengahan penggal bermula 16 Julai dan 17 Julai.

"Selepas cuti persekolah penggal (16 dan 17 Julai) Kementerian Pendidikan akan memaklumkan kepada ibu- bapa dan murid seminggu sebelum.

"Apakah tindakan selanjutnya berdasarkan situasi ketika itu," katanya pada sidang media khasnya, hari ini.

Radzi berkata warga pendidik tidak perlu terikat dengan manual pelaksanaan PdPR yang hanya dijadikan sebagai panduan.

Ini katanya disebabkan kekangan dihadapi guru dan murid dalam pelaksanaan PdPR ketika ini termasuk capaian internet.

"PdPR ini dilaksanakan berdasarkan kesesuaian guru dan murid. Sebab itu kita jelaskan apa yang perlu dilaksanakan PdPR berdasarkan kesesuaian guru dan murid.

"Seperti mana dijelaskan manual PdPR hanyalah panduan," katanya.

Didik TV diteruskan, 15 jam waktu siaran

Dalam pada itu, Radzi berkata KPM akan meneruskan program Didik TV dengan 15 jam waktu siaran setiap hari bagi memastikan semua murid mendapat akses kepada pendidikan.

Katanya Didik TV yang dilancarkan pada 17 Feb lalu adalah langkah persediaan kerajaan jika PdPR terpaksa dilaksanakan akibat peningkatan kes Covid-19.

"Saya masih ingat sewaktu ia (Didik TV) dilancarkan pada 17 Februari lalu dan kemudian sekolah dibuka ramai yang kata dah buka sekolah baru nak buat Didik TV.

"Pada waktu itu kami di kementerian telah menilai keadaan semasa dan kita melihat bahawa kita perlu bersedia kerana kita tidak tahu apakah 'perangainya' Covid-19 ini dan kita tidak tahu mungkin kes akan meningkat pada bila-bila masa, kita tidak tahu mungkin perlu kembali kepada PdPR.

"Sebab itu pada waktu itu kita komited bahawa kita perlu laksanakan Didik TV secepat mungkin bagi memastikan kita meletakkannya di platform yang baik dan sekiranya berlaku lagi PdPR, ia dapat digunakan sepenuhnya," katanya.

Tambahnya, ia bagi memastikan murid yang tidak dapat akses kepada internet sekurang-kurangnya mempunyai kaedah yang lebih dekat kepada mereka untuk turut bersama belajar dan mengikuti PdPR daripada guru berpengalaman.