Skip to main
Logo Malaysiakini

Kelantan akan perluas program outreach vaksinasi Covid-19

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mensasarkan akan memperluaskan program outreach vaksinasi Covid-19 di setiap daerah, dalam usaha mempercepatkan pemberian suntikan vaksin dalam kalangan masyarakat.

Pengarahnya Dr Zaini Hussin berkata, program itu akan diadakan dengan kerjasama ketua jajahan dan agensi berkaitan.

"Pendekatan yang kita akan ambil adalah dengan memperbanyakkan program outreach vaksinasi Covid-19 bagi memperluaskan dan mempercepatkan suntikan vaksin. Setakat ini, beberapa daerah sudah mengadakan program ini.

"Jika ada keperluan, kita juga akan pergi ke rumah penduduk kampung, namun ia bergantung kepada bekalan vaksin yang diterima penduduk," katanya pada sidang media selepas melawat PKRC ke-15 di Jabatan Kebudayaan dan Keseniaan Negara (JKKN) Kelantan, Kota Bharu, hari ini.

Tambahnya, bagi program suntikan di lapangan setempat itu akan membabitkan semua golongan masyarakat yang memerlukan suntikan vaksin.

"Kita tidak memfokuskan golongan warga emas semata-mata, sebaliknya ia membabitkan semua golongan," jelas Zaini.

Ditanya berhubung dakwaan bekalan vaksin yang dipotong, Zaini berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat rasmi mengenai perkara itu.

"Berhubung bekalan vaksin dipotong sebagaimana yang ditularkan, saya tidak mempunyai maklumat berhubung perkara itu.

"Namun, kita dijangka menerima bekalan vaksin secara berperingkat mulai minggu depan," katanya.