MKN arah denda tak kemas kini status kesihatan dibatalkan
Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengarahkan denda yang dikenakan terhadap 31 pekerja kerana didakwa tidak mengemas kini status kesihatan mereka di aplikasi MySejahtera supaya dibatalkan.
Ketua Pengarah MKN, Mohd Rabin Basir, berkata hanya mereka yang telah melakukan perjalanan ke luar negara atau mempunyai kontak dengan pesakit Covid-19 perlu mengemas kini status kesihatan mereka.
"Telah diusulkan agar polis Manjung mengambil tindakan yang tepat dengan meminta jabatan kesihatan daerah untuk membatalkan denda," katanya seperti dipetik Sin Chew Daily.
Rabin berkata, pekerja berkenaan hanya perlu mengemaskini status kesihatan sekiranya terdapat kes Covid-19 di tempat kerja mereka.
Tambahnya, tiada tindakan lanjut akan diambil berhubung perkara itu.
Sabtu lalu, Harian Metro melaporkan seramai 31 pekerja didenda antara RM1,500 dan RM2,000 setiap seorang kerana gagal mengemas kini status kesihatan mereka.
Ketua Polis Daerah Manjung, Nor Omar Sappi berkata mereka terdiri daripada 29 pekerja di sebuah firma minyak dan gas serta dua lagi pekerja dari sebuah kilang ayam.
Polis Manjung Manjung mengatakan peraturan tersebut dikenakan terhadap mereka yang bekerja di sektor pembuatan.
Sementara itu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham, dalam satu kenyataan, mendakwa polis telah salah menafsirkan prosedur operasi standard (SOP) bagi kes berkenaan.
Ngeh berkata di bawah arahan Pengarah Kementerian Kesihatan, keperluan memaklumkan status kesihatan secara harian melalui aplikasi MySejahtera hanya terpakai untuk pekerja kes positif Covid-19 atau mereka yang ada kontak fizikal dengan kes positif bagi sektor pengilangan dan pembuatan.
"Ingin juga saya mengingatkan pihak penguatkuasa bahawa arahan Pengarah Kementerian Kesihatan tidak diwartakan. Oleh itu, orang awam tidak boleh dianggap telah mengetahui arahan-arahannya.
"Arahan-arahan Pengarah Kementerian Kesihatan hendaklah disampaikan kepada mana-mana pihak berkenaan dan hanya selepas pihak berkenaan ingkar mematuhi arahannya, barulah boleh kompaun dikeluarkan atau mendakwa mereka ke mahkamah," kata pemimpin DAP Perak itu.
Ngeh menambah pihaknya juga bersedia menawarkan bantuan guaman secara percuma kepada pekerja berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai