Skip to main
Logo Malaysiakini

Di tengah kempen #CucukMYPress, Khairy umum media mula divaksin minggu ini

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata vaksinasi Covid-19 untuk wartawan akan bermula Rabu ini (9 Jun).

Kenyataan itu di tengah-tengah kempen petugas media susulan vaksinasi yang masih tertangguh, walau telah dijanjikan sejak April lalu.

"Bermula hari ini, akan ada petugas media yang akan mendapat janji temu. Bagaimanapun, senarai jumlah sebenar petugas media ini sedang disemak di peringkat akhir ini," katanya seperti dipetik Berita Harian hari ini.

Kumpulan dan petugas media memulakan tanda pagar #CucukMYPress dan #VaccineforMediaMY di Twitter semalam bagi menggesa kerajaan melaksanakan komitmennya untuk vaksinasi pengamal media.

Ia selepas vaksinasi untuk kelompok itu di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) yang tertangguh beberapa bulan, walaupun kerajaan sebelum ini berkata mereka diiktiraf sebagai petugas baris depan.

Wartawan New Straits Times Teh Athira Yusof antara yang terawal membuat ciapan menggunakan tanda pagar itu, dengan berkata wartawan telah melaksanakan tugas sebaik wabak Covid-19 mula menular.

"Kami hanya ingin tahu bila kami akan dapat vaksin untuk lindungi diri dan keluarga.

"Wartawan, juru gambar, juru kamera, produser dan editor telah melaksanakan tugas kami membuat liputan tentang Covid-19 sejak hari pertama," ciapnya semalam.

Gerakan Media Merdeka (Geramm) juga mengongsikan gambar pencontoh - seakan bingkai "Saya Telah Divaksinasi" di pusat pemberian vaksin (PPV) - tetapi dengan kata-kata "Media Belum Divaksinasi".

Pengguna Twitter lain boleh menggunakan gambar itu untuk meletakkan gambar mereka dalam bingkainya.

Kumpulan itu menggesa kerajaan memberi vaksin kepada petugas media secepat mungkin.

Wartawan bebas Tehmina Kaoosji dalam ciapannya turut berkata, media adalah "petugas baris depan komunikasi" tetapi masih terdedah kepada risiko jangkitan.

"Tanpa sebarang keutamaan pemberian vaksin kepada media, kegusaran kami terhadap kesihatan di tengah-tengah tugasan sudah menjadi rutin harian.

"Ini tak boleh diterima. Ia juga tidak strategik jika petugas media yang membuat liputan tentang Covid-19 adalah kumpulan yang paling terdedah dengannya," katanya.

Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membangkitkan penangguhan vaksinasi terhadap kumpulan itu selama beberapa bulan.

"Peliknya, pelbagai program kerajaan berterapkan usaha-usaha Kerajaan menangani Covid-19 telah dianjurkan yang memerlukan kehadiran pengamal media untuk liputan, rata-ratanya memerlukan kehadiran fizikal.

"Kelihatan seperti segala penat lelah, risiko yang diambil dan pengorbanan pengamal media tidak diambil peduli," kata Ketua Penerangan (Penaja) Pejuang Ulya Aqamah Husamudin dalam kenyataan hari ini.

Katanya, petugas media telah mengenepikan keselamtan sendiri dalam menjalankan tugas di lapangan, termasuk membuat liputan di dalam hospital dan ketika pengebumian mangsa Covid-19.

Justeru, dia menggesa kerajaan memberikan vaksin kepada mereka pada kadar segera.

"Media juga adalah barisan hadapan. Bantu mereka permudahkan urusan tugasan mereka sebagai saluran maklumat kepada rakyat," katanya lagi.

Pada 28 April lalu, Khairy mengumumkan seramai 1,500 petugas media akan menerima vaksin pada Mei.

Kemudian, pada akhir Mei, dia berkata senarai itu telah bertambah kepada 5,867 orang daripada 114 agensi yang berdaftar.

Beberapa hari kemudian, dia berkata kumpulan media akan mula mendapat tarikh temu janji vaksinasi pada minggu pertama Jun.