Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis tangkap 5 lelaki, rampas 2,600 pil yaba bernilai RM26,000

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menahan lima individu berumur antara 20 hingga 30 tahun dan merampas 2,600 biji pil yaba bernilai RM26,000 dalam dua operasi serentak melibatkan beberapa kawasan di sekitar Kota Bharu, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan ACP Sheik Azhar Sheik Omar, berkata polis dalam operasi itu juga menyita empat buah kenderaan iaitu sebuah kereta Proton Persona dan tiga buah motosikal jenis Yamaha 125ZR, Yamaha 135LC dan Honda EX5, selain seutas rantai leher emas berloket jongkong emas kecil bertulis Fine Gold 999.9 Net Wt 1000 gram.

“Hasil daripada operasi yang dijalankan, pihak polis berjaya menangkap lima lelaki serta merampas 2,600 biji pil yaba dengan anggaran nilai pasaran semasa RM26,000 dan empat buah kenderaan serta seutas rantai leher emas.

“Operasi ini bermula dari jam lima petang hingga 10 malam (semalam),”katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, tiga lelaki yang ditahan mempunyai rekod lampau bagi kesalahan narkotik dan kesemua suspek akan disiasat mengkikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.