Skip to main
Logo Malaysiakini

MAIWP, Maij mohon jadi pencelah dalam rayuan kes kalimah Allah

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Negeri Johor (Maij) memohon untuk menjadi pencelah bagi rayuan kerajaan dalam kes penggunaan kalimah "Allah" bagi orang bukan Islam.

MAIWP dan JAINJ telah memfailkan permohonan untuk dimasukkan dalam rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan arahan larangan penggunaan kalimah itu pada 1986.

Peguam Annou Xavier mengesahkan dua badan itu telah memfailkan permohonan mencelah dalam rayuan di Mahkamah Rayuan, yang melibatkan anak guamnya, Jill Ireland.

"Mahkamah Rayuan menetapkan 21 Julai 2021 (untuk pengurusan kes) bagi membolehkan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk memfailkan rekod rayuan dan pihak-pihak lain memfailkan afidavit berhubung permohonan mencelah yang difailkan MAIWP dan Maij," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dia berkata demikian setelah pengurusan kes untuk rayuan kerajaan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Rayuan hari ini.

AGC mewakili kerajaan Malaysia dan menteri dalam negeri.

Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan semakan kehakiman Ireland - seorang wanita Melanau beragama Kristian - yang memohon pengisytiharan yang dia ada hak untuk menggunakan kalimah "Allah" bagi tujuan keagamaan dan pendidikan.

Hakim Nor Bee Ariffin dalam penghakimannya antara lain berkata, arahan oleh Kementerian Dalam Negeri pada 1986 untuk tidak membenarkan penggunaan empat perkataan itu menyalahi undang-undang dan tidak rasional.

Isu ini bermula 13 tahun lepas apabila Jill Ireland memulakan permohonan semakan kehakiman pada 20 Ogos 2008 supaya dikembalikan lapan CD (cakera padat) yang dirampas daripadanya pada 11 Mei 2008, sebaik tiba di Terminal Tambang Murah (LCCT) di Sepang.

[Baca berita asal]