Skip to main
Logo Malaysiakini

Maik ingatkan denda RM5,000, penjara langgar SOP aktiviti keagamaan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik) akan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) berkaitan aktiviti keagamaan di masjid, surau, musalla dan madrasah.

Ini susulan masih berlaku pelanggaran terhadap SOP berkaitan majlis keagamaan sehingga mencetuskan kluster baru dan penambahan kes Covid-19 sedia ada.

Yang Dipertua Maik, Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, perkara ini telah diperkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan penguatkusaan dilakukan di bawah peruntukan Perkara 6 (1) Undang-Undang Perlembagaan Tubuh Negeri Kelantan di bawah Seksyen 121 Enakmen Maik 1994.

“Seseorang yang mengingkari, melanggar, membantah atau mengeji kewibawaan dan titah perintah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al-Sultan atas sifat Baginda sebagai Ketua Agama Negeri ini, atau perintah Majlis, mana- mana jawatankuasa, ahli-ahli, pegawai-pegawainya akan dikenakan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.”

“Selain itu, mana-mana pihak yang mengingkari mahkamah, pegawai-pegawai yang mengetuai mahkamah, penyelia agama, pegawai- pegawai masjid, atau mana-mana orang yang diberi kuasa juga akan dijatuhkan di bawah hukuman yang sama,”katanya yang juga Tengku Temenggong Kelantan dalam kenyataan media hari ini.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan beberapa kluster daripada aktiviti keagamaan tercetus di Kelantan akibat tidak mematuhi SOP perintah kawalan pergerakan (PKP).

Antaranya solat berjemaah di dalam gelap dengan mengabaikan penjarakan sosial, yang menjadi punca penularan wabak di Kampung Pauh Lima, Bachok Kelantan.

Terbaru, pada 1 Jun 2021, sekumpulan penduduk didapati menunaikan solat berjemaah di sebuah masjid tanpa mematuhi SOP PKP di Pasir Mas. 

Sementara itu, Tengku Mohamad Rizam meminta rakyat Kelantan mengambil serius perkara itu demi mengekang penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan.

“Justeru, pihak Maik amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak terutama umat Islam untuk mematuhi ketetapan-ketetapan yang telah dikeluarkan dari semasa ke semasa.

“Bersama-samalah kita istiqamah dan yakin bahawa Allah S.W.T pasti membantu dan memperkenankan doa serta harapan kita semua,”jelasnya.