Skip to main
Logo Malaysiakini

Dakwaan 'diugut polis' - Bapa, teman wanita penjaja dipanggil bantu siasatan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bapa dan teman wanita kepada penjaja, Lim Thiam Fook akan dipanggil untuk membantu siasatan berhubung dakwaan Thiam Fook yang dia diperas ugut tiga anggota polis pada minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai mengesahkan perkara itu dan berkata ia adalah sebahagian daripada proses siasatan untuk memastikan kebenaran dakwaan tersebut.

"Kita kena lihat daripada setiap sudut untuk mencari kebenaran, untuk mengesahkan kesahan laporan (berita) dan cuba menjawab sebarang keraguan dalam penyiasatan.

"Ini adalah proses biasa penyiasatan," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Beh berkata, polis telah ke warung Thiam Fook, 21 tahun, hari ini bagi mendapat keterangan lanjut daripadanya dan juga pemilik restoran yang menempatkan warungnya.

Bapanya yang tinggal di Tanjung Malim, Perak, dan teman wanitanya yang bekerja masih belum hadir ke balai polis, katanya lagi.

Sementara itu, China Press memetik Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng sebagai berkata, polis tidak wajar memanggil individu yang tiada ketika insiden didakwa berlaku untuk membantu siasatan.

Pada 6 Jun lalu, Lim bersama-sama Thiam Fook dan pembantunya yang berusia 13 tahun - yang membantunya sempena cuti sekolah - mengadakan sidang media berhubung perkara itu.

Dalam sidang media itu, dia mendakwa telah diperas ugut tiga anggota polis ketika memandu ke restoran tersebut pada awal pagi 2 Jun.

Dia mendakwa ketika polis mengetahui bahawa kedua-duanya tidak mempunyai surat kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk beroperasi, mereka mengancam untuk menahan mereka jika tidak dapat membayar denda berjumlah RM3,000.

Dia mendakwa anggota polis turut menumpahkan sup jualannya dengan alasan untuk "memeriksa dadah" sebelum mengambil RM500 daripadanya untuk "menyelesaikan isu itu".

Terdahulu, Miti telah menjelaskan penjaja kecil tidak memerlukan surat kebenaran kementerian itu dan hanya permit penjaja diperlukan untuk membolehkan mereka terus beroperasi sepanjang sekatan pergerakan penuh.

[Baca berita asal]