Skip to main
Logo Malaysiakini

'Walau kes berkurang, bilangan ujian saringan juga menurun'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dengan jumlah kes baru harian Covid-19 dilihat menurun kebelakangan ini, Ahli Parliman Bandar Kuching Dr Kelvin Yii mengingatkan bahawa orang ramai dan pihak berkuasa perlu sedar yang jumlah ujian saringan juga berkurang.

Ahli parlimen dari DAP itu berkata, bilangan kes baru yang menurun itu tidak bermakna jika ia tidak dilihat sekali dengan kadar positif dan bilangan ujian saringan yang berkurang.

"Dari satu sisi, ini memberikan rasa selamat yang palsu berhubung keadaan sebenar di negara kita. Anda tak boleh cuba 'game the system'," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah sampel yang diambil untuk ujian Covid-19 menurun daripada 126,480 pada 29 Mei kepada hanya 77,030 hari ini. [Lihat graf di bawah]

Yii yang merupakan seorang doktor berkata, apa yang lebih membimbangkan adalah sementara bilangan kes baru dan jumlah sampel yang diambil menurun, "purata kadar positif" kekal melebihi nilai ambang lima peratus yang ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Dunia berkenaan jumlah ujian yang wajar.

"Di negara yang telah berjaya mengekang virus ini baru-baru ini, seperti United Kingdom, kadar positif adalah 0.3 peratus," katanya lagi.

Menurut Yii, kerajaan patut menggunakan tempoh sekatan pergerakan penuh untuk meningkatkan ujian saringan, sebagai sebahagian strategi keluar dan strategi menyelamatkan nyawa menerusi pengesanan awal.

Kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan kes positif kembali meningkat, katanya.

"Sebab itu tempoh sekatan pergerakan penuh ini tak boleh disia-siakan. Ujian perlu menjadi perkara utama untuk minggu-minggu akan datang, bukan mengurangkannya bagi memberi rasa selamat yang palsu.

"Jika kita tidak mengendalikan perkara ini dengan betul, kita mungkin akan terlalu bergantung kepada strategi sekatan pergerakan yang bukan saja tidak menyelesaikan masalah, tetapi menjejaskan mata pencarian orang ramai," katanya lagi.

Untuk minggu pertama bulan ini, Malaysia telah mencatatkan 664 kes kematian berkaitan Covid-19 - separuh daripada jumlah korban pada Mei.

[Baca berita asal]