Skip to main
Logo Malaysiakini

Lebih 500 Orang Asli di Sungai Rual terima vaksin

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Masyarakat Orang Asli di Sungai Rual, Jeli menyambut baik Program Outreach Vaksinasi Covid-19 yang berlangsung hari ini apabila lebih 500 penduduk tampil menerima suntikan.

Anggota Parlimen Jeli, Mustapa Mohamed berkata, program vaksinasi kali ini mendapat sambutan lebih menggalakkan apabila seramai 235 Orang Asli menerima vaksin selain kumpulan awal yang menerimanya pada 5 Jun lalu.

Katanya, masyarakat Orang Asli di situ memberi kerjasama yang baik dalam usaha kerajaan menjayakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi mengekang penularan wabak tersebut.

"Program vaksinasi kali ini mendapat sambutan yang lebih menggalakkan berbanding pada fasa pertama yang lalu, susulan mendapat lebih keyakinan daripada kumpulan yang sudah menerima vaksin sebelum ini.

"Kita juga dalam usaha menambah empat lagi program Outreach di Jajahan Jeli, iaitu di Ayer Lanas, Batu Melintang, Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Jeli serta di Pejabat Ahli Parlimen Jeli.

"Dua lagi di perkampungan Orang Asli yang juga kawasan pendalaman agar semua golongan ini tidak ketinggalan mendapatkan vaksinasi dengan bantuan Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) dan Jabatan Penerangan Negeri (JPN)," katanya ketika ditemui media di Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di Perkampungan Orang Asli Sungai Rual, Jeli, hari ini.

Susulan penambahan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 di beberapa daerah dan kampung Orang Asli, Mustapa yang juga menteri di Jabatan di Perdana Menteri (Ekonomi) berharap kerajaan akan memberi peruntukan ke atas jumlah dos vaksin bersesuaian dengan jumlah penerima yang telah mendaftar.

Tok batin sebarkan kebaikan vaksin 

Sementara itu, penghulu Sungai Rual, Bidin Daud, 63, melahirkan rasa gembira kerana semakin ramai Orang Asli mula menerima baik program vaksinasi untuk memastikan diri mereka turut dilindungi daripada wabak Covid-19.

"Saya antara penerima kelompok pertama vaksinasi, justeru sebagai tok batin di sini, saya mengambil inisiatif untuk menyampikan kebaikan vaksin dari rumah ke rumah agar mereka lebih terbuka menerima vaksin.

"Alhamdulillah, semakin ramai yang mula menerima baik dan melihat vaksinasi ini dalam perspektif positif bagi mengelak penularan wabak.

"Terima kasih kepada kerajaan dan pihak Jakoa yang memastikan golongan Orang Asli tidak ketinggalan dalam menerima vaksin walaupun tiada jangkitan dicatatkan dalam kawasan kami," katanya.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan seramai 127,669 individu masyarakat Orang Asli di seluruh negara dikenal pasti untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.