Skip to main
Logo Malaysiakini

Miti: Majikan tak dibenar potong gaji pekerja bagi kos pengurusan vaksinasi

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

NOTA EDITOR: Perenggan empat telah dikemas kini untuk menyatakan bahawa majikan yang memenuhi syarat untuk Pikas akan membayar kos pengurusan vaksinasi, bukan kos vaksin Covid-19.



Majikan yang memenuhi kriteria dan membiayai kos pengurusan vaksinasi bagi pekerja mereka di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick) Fasa 4 tidak dibenarkan memotong gaji pekerja bagi menanggung kos itu.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) mengumumkan perkara itu dalam satu kenyataan hari ini.

Fasa 4 secara rasmi disebut Program Imunisasi Industri Covid-19 Kerjasama Awam-Swasta (Pikas) dan melibatkan vaksinasi di lokasi untuk syarikat terlibat dalam sektor ekonomi "kritikal".

Tiga fasa Pick sebelum ini tidak melibatkan sebarang pembayaran. Sementara Pikas membenarkan majikan yang layak untuk membayar kos pengurusan vaksinasi untuk memvaksin pekerja mereka.

Pekerja boleh sukarela menerima vaksin dan mesti mendapatkannya secara percuma.

Majikan tidak dibenarkan memotong gaji pekerja untuk menanggung yuran pentadbiran kepada pengamal am perubatan swasta dan untuk penggunaan pusat pentadbiran vaksin yang dikendalikan oleh pihak swasta, termasuklah apabila pekerja tidak lagi bekerja di syarikat yang sama sebelum imunisasi penuh pekerja yan berkenaan," kata Miti.

Antara syarat lain adalah pekerja juga mesti mendaftar untuk Pick melalui MySejahtera.

Pikas mengenakan bayaran kerana kerajaan bekerjasama dengan sektor swasta. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Kementerian Kesihatan, ProtectHealth Sdn Bhd juga terlibat. Ia bermula Rabu depan (16 Jun).

Sektor pembuatan layak

Miti adalah salah satu kementerian yang diberi kuasa untuk memutuskan sektor yang layak untuk Pikas.

Miti berkata bahawa sektor pembuatan layak, termasuk "subsektor kritikal" berikut: elektrik dan elektronik; pemprosesan makanan; besi dan keluli; peralatan perubatan; alat pelindung diri; minyak dan gas; dan produk getah (termasuk pembuatan sarung tangan perubatan).

"Sektor-sektor ini penting dalam menyokong rantaian bekalan produk dan perkhidmatan penting serta pembinaan, penyelenggaraan, dan kelancaran fungsi infrastruktur kritikal termasuk utiliti dan (sistem) kesihatan awam," kata kementerian itu.

Miti mengatakan bahawa keutamaan akan didasarkan pada beberapa faktor termasuk sama ada syarikat itu berada di zon merah Covid-19 atau tidak.

Pikas telah menerima permohonan daripada "kira-kira 500 syarikat" dengan jumlah pekerja 106,591. Permohonan masih dibuka.

Kementerian seterusnya akan mengadakan perbincangan dengan persatuan dan dewan perniagaan mengenai proses pelaksanaan Pikas.

Menteri Sains, Teknologi, dan Inovasi Khairy Jamaluddin sebelum ini berkata selain pembuatan, Pikas juga terbuka untuk sektor eksport, logistik dan pengangkutan, tenaga, dan utiliti.