Warisan bidas cadangan bawa masuk nelayan Vietnam, Thailand
Adun Tanjung Aru, Junz Wong membidas cadangan untuk membawa masuk nelayan Vietnam dan Thailand bagi mengatasi kekurangan tenaga kerja bagi aktiviti penangkapan ikan laut dalam.
Wong mengulas kenyataan Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal yang mengatakan pendaratan hasil laut di seluruh negara merosot lebih 10 peratus dalam menampung permintaan harian sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0).
Syed Abu Hussin Hafiz berkata, bagi mengatasi masalah ketiadaan pekerja asing, LKIM telah mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Imigresen Malaysia dan telah mendapat kelulusan untuk membawa masuk pekerja Thailand dan Vietnam.
"Ini adalah penghinaan yang sangat besar bagi nelayan di seluruh negara! Pengerusi LKIM harus turun padang dan bertemu dengan nelayan tempatan sebelum membuat kesimpulan dungu ini.
"Kita ada begitu banyak nelayan. Mereka menangkap ikan sepanjang hidup mereka, namun hilang kerja baru-baru ini. Jadi bagaimana Putrajaya boleh mendakwa mereka tidak berminat atau tidak mahir?" kata Wong, yang juga naib presiden Warisan dan bekas Menteri Pertanian dan Industri Makanan Negeri Sabah.
Justeru itu Wong meminta kerajaan negeri Sabah untuk mengutamakan nelayan tempatan.
"Sayangnya, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak mengatakan apa-apa. Pengganti saya Jeffrey Kitingan, mesti sedar undangan terbuka Putrajaya kepada nelayan Vietnam dan Thailand sekarang. Jadi, apa pendiriannya?" soalnya.
Junz berkata PKP 3.0 adalah peluang terbaik untuk memulihkan industri perikanan tempatan di Sabah.
"Ini adalah rahsia terbuka bahawa walaupun tanpa membenarkan nelayan Vietnam, sudah ada banyak kapal nelayan Vietnam di perairan Sabah.
"Seluruh Sabah tahu bahawa penguatkuasaan mengalami kesulitan menangkap kapal-kapal Vietnam ini, kerana rumit memandangkan nelayan Vietnam ini menyamar sebagai operator kapal Malaysia.
"Dengan semua sempadan ditutup, ini adalah waktu dan peluang yang tepat untuk membasmi nelayan Vietnam dari perairan Sabah," katanya.
Junz berkata ketika Warisan mengambil alih pentadbiran pada 2018, terdapat 52 lesen laut dalam yang dikeluarkan kerajaan BN dan lebih separuh daripadanya adalah kapal Vietnam.
"Warisan berhenti keluarkan lesen baru, membeku dan membatalkan lebih daripada separuh lesen ini.
"Kami memastikan hanya nelayan Sabah yang memiliki lesen ini kerana pada akhirnya, hasil bumi Sabah mesti diberikan kepada orang Sabah terlebih dahulu," katanya.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai