Skip to main
Logo Malaysiakini

PH mahu negeri pimpinannya adakan sidang DUN pada Ogos - Laporan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata Pakatan Harapan mahu ketiga-tiga negeri yang dikuasainya mengadakan sidang Dun pada Ogos ini.

Pakatan Harapan kini mentadbir Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.

Lim yang merupakan timbalan presiden majlis presiden Pakatan Harapan (PH),  berkata kerajaan Pahang pimpinan Umno juga melakukan perkara sama.

"Pahang ialah kerajaan pimpinan Umno yang juga mahu kerajaan PN membenarkan dewan perundangan bersidang. Semua Adun di negeri pimpinan PH akan diminta menyerahkan soalan sebagai persediaan untuk pembukaan.

“Bukan hanya wakil rakyat yang mahu Parlimen dan Dun berfungsi seperti biasa, rakyat turut memintanya,"kata Lim dipetik Free Malaysia Today.

Lim berkata ahli parlimen dan Adun kini sudah menerima vaksin dan tiada masalah untuk menghadiri sidang Dun secara fizikal dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pada 25 Mei lalu, kerajaan Pahang mengeluarkan notis kepada semua Adun memaklumkan Ddun akan bersidang mulai 16 hingga 20 Ogos ini.

Bagaimanapun, surat yang dikeluarkan Setiausaha Dun, Syed Ahmad Khirulanwar Alyahya Syed Abdul Rahman itu menyatakan Dun akan bersidang dengan syarat darurat tidak dilanjutkan.

Speaker turut meminta Adun mengemukakan soalan mereka dalam dua minggu daripada notis itu dikeluarkan.

Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan di bawah pimpinan PH, manakala Perak, Johor, Melaka dan Perlis di bawah Umno.

Ditanya sama ada PH sedang berunding dengan Umno untuk memastikan negeri pimpinan mereka melakukan perkara sama, Lim berkata, kedua-duanya kelihatan bersolidariti untuk menghentikan “tindakan subversif tersembunyi dan berbahaya terhadap demokrasi berparlimen” yang dilakukan PN.

“Separuh daripada negara sedang bekerja sekarang, walaupun kebanyakannya tidak divaksin lagi. Apa salahnya dengan yang sudah divaksin menghadiri sidang parlimen dan Dun," katanya.