Skip to main
Logo Malaysiakini

Sesi menghadap GPS dengan Agong tak sentuh politik

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Sesi menghadap secara dalam talian antara presiden parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Yang di-Pertuan Agong tidak ada menyentuh soal politik.

Menurut pengerusi Parti Demokratik Progresif (PDP) - iaitu salah satu parti komponen GPS - Tiong King Sing - pertemuan itu hanya menyentuh soal Covid-19 dan ekonomi semata-mata.

“Tak ada (isu-isu politik). Semata-mata Covid-19 sama ekonomi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

Ditanya apakah isu darurat dan tempoh tamatnya ada disentuh dalam pertemuan tersebut, kata Tiong, ia turut tidak disentuh.

Dalam satu kenyataan hari ini, GPS menyenaraikan tiga isu dibangkitkan dalam persidangan video yang dihadiri empat presiden parti komponen - presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abang Johari Openg merangkap pengerusi GPS; presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), James Jemut Masing; Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Dr Sim Kui Hian; dan Tiong.

“Kami, pengerusi PRS, SUPP dan PDP bersetuju penuh dengan Ketua Menteri (Sarawak), Datuk Patinggi Abang Haji Zohari bin Tun Datuk Abang Haji Openg, pengerusi GPS, atas tiga faktor penting dalam melawan Covid-19 dan kelakuan ekonomi yang dipersembahkan kepada Agong semasa sesi itu,” kata mereka.

Tiga perkara tersebut ialah rancangan mempercepat program vaksinasi di Sarawak yang dijangka diselesaikan pada Ogos, bagi mencapai imuniti kelompok; memastikan kewujudan kerajaan kuat dan stabil bagi menyokong program Covid-19 dan ekonomi; pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi pasca-Covid-19.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh Masing, Sim, dan Tiong.

Darurat berkuat kuasa dari 11 Jan hingga 1 Ogos - tertakluk pada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan.

Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tamat penggal pada 6 Jun, namun kekal berfungsi selepas itu di bawah Ordinan Darurat hingga 1 Ogos depan.

Sebelum ini, ada kebimbangan disuarakan bahawa pilihan raya negeri (PRN) Sarawak harus dijalankan mengikut tempoh asal sekiranya darurat ditamatkan seperti dijadualkan.

Speaker DUN Sarawak, Mohamad Asfia Awang Nassar sebelum ini berkata sekiranya darurat tidak disambung selepas 1 Ogos, PRN Sarawak perlu diadakan selaras Perkara 21(4), Perlembagaan Negeri Sarawak dalam tempoh 60 hari dari tarikh tamat darurat.

Hujung bulan lalu, menteri penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (Pick), Khairy Jamaluddin dilaporkan berkata program vaksinasi Covid-19 di Sarawak akan dipercepat untuk memastikan PRN dapat diadakan dengan selamat sekiranya darurat ditamatkan pada 1 Ogos.

Kata Khairy, sasaran vaksin orang dewasa dijangka selesai di Sabah dan Sarawak pada akhir Ogos.

Ini akan memastikan negara Sabah dan Sarawak dapat mencapai sasaran vaksinasi orang dewasa pada akhir bulan Ogos.

Minggu lalu, Seri Paduka berkenan menerima menghadap pemimpin parti poliitk secara bersemuka di Istana Negara, dari Rabu hingga Jumaat.