Bank-bank terus bantu golongan terjejas akibat pandemik
Bank-bank Malaysia akan terus menumpukan usaha bagi membantu kalangan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terjejas akibat pandemik, termasuk pendekatan moratorium bersasar yang dilihat sebagai wajar, demikian menurut Persatuan Bank-Bank Malaysia.
Pengerusinya, Datuk Abdul Farid Alias berkata pihak bank terbabit juga terbukti telah bersifat amat akomodatif menerusi kemudahan skim bantuan bayaran balik masing-masing yang berbeza.
“Pendekatan secara bersasar ini membolehkan bank-bank melindungi sebahagian modal agar dapat memainkan peranan di peringkat pemulihan dengan lebih berkesan. Modal ini adalah terhad dan kita juga perlu memanfaatkannya dengan secara wajar,” kata beliau menerusi komentar yang disiarkan pada Isnin.
Abdul Farid yang juga presiden dan ketua pegawai eksekutif Kumpulan Maybank, juga menyifatkan moratorium bersasar berkenaan sebagai penyelesaian terbaik berbanding pemberian moratorium automatik atau secara menyeluruh yang sebaliknya menyalurkan bantuan kepada semua, termasuk golongan mewah serta mereka yang mana pendapatan/gaji mereka tidak terjejas.
Beliau menjelaskan, moratorium secara menyeluruh itu juga bermaksud bahawa terdapat pihak lain yang membayar kos pinjaman mereka iaitu sesuatu yang sebaliknya perlu dilunaskan semua, sama ada secara langsung atau tidak pada kemudiannya.
“(Kemudahan) moratorium ini sepatutnya ditawarkan kepada mereka yang memerlukan sepertimana diamalkan oleh negara-negara lain,” katanya.
Abdul Farid berkata, mereka yang terjejas teruk akibat sekatan pergerakan -- sama ada kehilangan kerja atau sebahagian besar pendapatan perniagaan, perlu terus menikmati kemudahan moratorium tersebut atau pengurangan bayaran balik pinjaman bagi tempoh masa tertentu.
Menurutnya, ini berikutan masih terdapat perbelanjaan lain yang perlu dibayar oleh peminjam terbabit seperti sewaan, bayaran bil atau utiliti serta pengangkutan selain kos operasi yang ditanggung oleh pemilik perniagaan.
“Sejajar peranan dalam negara ini, kita wajar secara kolektif mahupun individu bertindak menyokong perniagaan PKS ini, terutama jika mereka beroperasi dalam kawasan kejiranan agar dapat meneruskan kelangsungan (operasi) masing-masing dalam tempoh-tempoh sekarang.
“PKS juga boleh meneliti kemungkinan mengubah model perniagaan masing-masing dengan memanfaatkan platform digital untuk menawarkan perkhidmatan atau produk selain menggunakan perkhidmatan penghantaran yang terdapat di negara ini,” katanya.
Malaysia adalah antara sebilangan kecil negara-negara yang telah melaksanakan kemudahan moratorium secara automatik.
Sebahagian besar negara telah melaksanakan skim menyamai Bantuan Pembayaran Balik (RA) dan Bantuan Bayaran Balik Pinjaman Bersasar (TRA) yang berdasarkan atau mengikut keperluan berkaitan.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai