Naik perahu untuk dapatkan vaksin di pedalaman Sibu
Seawal matahari terbit Sim Jiunn Tie, 26, dan beberapa penduduk rumah panjang di Linjai, Batang Lassa sudah berkumpul di jeti untuk menaiki perahu.
Berpakaian serba ringkas sebagaimana orang kampung lain dengan membawa sedikit bekalan makanan dan minuman, mereka bertolak pada pukul 7 pagi menyusuri Batang Lassa sebelum memasuki Batang Lebaan untuk ke Dewan Masyarakat Bawang Assan, 34 kilometer (km) dari bandar Sibu.
Mereka menempuh perjalanan menggunakan perahu selama satu jam itu, untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 di pusat pemberian vaksin (PPV) Bawang Assan, di dewan itu.
“Kami menggunakan perahu sebab tidak ada jalan untuk ke sini,” katanya kepada Bernama selepas menerima dos pertama suntikan vaksin Sinovac di PPV tersebut hari ini.
Menurut beliau, setibanya di pusat itu sudah ramai penerima vaksin dari rumah panjang lain berkumpul untuk menunggu giliran mereka kerana telah bertolak seawal pukul 5 pagi juga menggunakan perahu.
Ada rumah panjang yang terlibat dihubungkan dengan jalan-jalan ladang kelapa sawit, yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda, sesuatu yang dimiliki hanya oleh segelintir penduduk di luar bandar.
Pemberian vaksin Covid-19 secara bergerak oleh Pasukan ‘Outreach’ Vaksinasi Covid-19 Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ke kawasan luar bandar di Sibu, dianggap satu kaedah terbaik bagi memudahkan rakyat mendapatkan imunisasi tersebut.
“Sangat baik bagi kami yang tiada jalan mahupun kenderaan, memang sukar untuk kami turun ke bandar Sibu. Sekiranya menggunakan perahu, memakan masa dua jam untuk sampai ke bandar,” katanya.
Sim adalah salah seorang daripada lebih 230 penerima vaksin setakat tengah hari ini, dari 11 buah rumah panjang di kawasan Bawang Assan yang hadir ke PPV itu.
Menurut penyelaras PPV Bawang Assan Penolong Pegawai Perubatan David Japang, seramai 1,345 penduduk berdekatan PPV itu telah menerima suntikan vaksin Covid-19 sejak Sabtu lalu.
Penerima vaksin ini terdiri daripada penduduk 37 buah rumah panjang di Bawang Assan, yang telah didaftarkan secara manual oleh ketua rumah panjang dan senarainya telah diserahkan kepada Pejabat Residen Sibu sebelum itu.
“Mereka yang tersenarai diminta hadir mengikut jadual yang ditetapkan. Kita suntik dulu dan daftar kemudian (penerima - penerima vaksin itu),” katanya sambil menambah, sasaran PPV itu adalah untuk memberikan vaksin kepada 500 orang setiap hari.
Beliau berkata, ada juga yang tidak tersenarai dan hadir di sebelah petang secara datang terus untuk menerima suntikan namun jumlah mereka tidak ramai.
David berkata PPV itu akan berada di Bawang Assan sehingga esok, sebelum berpindah ke Durin kira-kira 40km dari sini, bagi pemberian vaksin kepada penduduk di kawasan itu.
Beliau menyeru agar penduduk di Bawang Assan yang belum menerima vaksin untuk hadir di PPV itu esok.
- Bernama
Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai