Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua lelaki keluar masuk kawasan PKPD di Tumpat ditahan, dikompaun

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Polis menahan dua lelaki yang didapati keluar masuk dari kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Kampung Kutan Tengah, di Tumpat, semalam.

Ketua Polis Daerah Tumpat Supt Abd Rashid Mat Daud berkata seorang suspek berumur 38 tahun ditahan pada 7 malam selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan berdekatan tali air kerana melepasi kawat duri.

Beliau berkata siasatan mendapati lelaki terbabit mengaku sudah beberapa kali melepasi kawat duri yang dipasang untuk berulang-alik dari rumah sewanya (di luar lokaliti) ke rumah emaknya di dalam kawasan PKPD.

"Lelaki terbabit juga dikesan positif dadah jenis methamphetamine selain turut memiliki beberapa rekod jenayah lampau seperti dadah dan kekerasan.

"Dia kini ditahan reman selama tiga hari atas kesalahan dadah dan akan disiasat juga mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya kepada pemberita selepas meninjau PKPD Kampung Kutan Tengah, di Tumpat hari ini.

Abd Rashid berkata pihaknya turut menahan seorang lagi lelaki berumur 33 tahun tengah hari semalam dan dikenakan kompaun sebanyak RM3,000 mengikut Akta 342 atas kesalahan sama.

Sementara itu, mengulas mengenai berita tular menerusi laman sosial mengenai kawat duri yang dipotong oleh individu tidak bertanggungjawab Sabtu lepas, Abd Rashid berkata ia sudah diganti baru dan akan memperketatkan lagi rondaan dan kawalan bagi mengenal pasti mereka yang terlibat.

Katanya setakat ini, keanggotaan sudah ditambah kepada 60 orang dan mereka akan bertugas dalam tiga syif.

"Selain di PKPD Kampung Kutan Tengah, kita juga turut menambah keanggotaan di Kampung Ketil dekat Pengkalan Kubor yang turut dikenakan PKPD.

"Orang ramai dinasihatkan agar sentiasa mematuhi arahan daripada pihak berkuasa dalam usaha kerajaan mengelak berlakunya penularan Covid-19," katanya.

PKPD di Kampung Kutan Tengah dan Kampung Ketil bermula 11 hingga 24 Jun.

- Bernama