PH gesa KPT tubuh Majlis Pendidikan Tinggi diketuai profesional
Penubuhan segera Majlis Pendidikan Tinggi yang dikendalikan golongan profesional boleh menjamin hala tuju pendidikan tinggi negara yang betul, kata Pakatan Harapan (PH).
Dalam kenyataan Jawatankuasa Pendidikan PH hari ini, mereka berkata cadangan tersebut dibuat berdasarkan Akta Majlis Pendidikan Tinggi negara 1996 (Akta 546).
Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Maszlee Malik, berkata cadangan itu pernah dikemukakan sewaktu PH menjadi kerajaan dan sepatutnya dilaksanakan namun tergendala apabila berlaku pertukaran kerajaan tanpa pilihan raya umum pada tahun lalu.
Kata bekas menteri pendidikan itu dengan adanya majlis tersebut ruang untuk pendidikan tinggi menentukan hala tujunya melalui perancangan pofesional dapat dibuat.
Ia juga kata Maszlee dapat meminimumkan campur tangan politik dalam perjalanan dan masa depan pendidikan tinggi negara.
“Ia juga mampu membendung apa jua kelemahan kepimpinan dari pihak eksekutif,” katanya.
Selain Maszlee, jawatankausa tersebut juga dianggotai Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR), Teo Nie Ching (DAP), Hasan Bahrom (Amanah), Natrah Ismail (PKR) dan Steven Sim (DAP).
Kenyataan itu hadir selepas Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi melantik naib canselor baru di lima universiti awam dengan segera.
Institusi pengajian tinggi yang masih belum mempunyai naib canselor ialah Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Menurut Jawatankuasa Pendidikan PH lagi, isu pemberhentian tiba-tiba naib canselor di UiTM dan Unimap juga dirasakan amat pelik dan telah mengundang pelbagai spekulasi.
Katanya banyak pihak dalaman mendakwa penamatan khidmat naib canselor berkenaan lebih bermotifkan politik.
“Apa yang lebih memeranjatkan lagi ialah penamatan tersebut tidak disertakan sebab dan tidak ada pelan penggantian dalam perancangan KPT sebelum penamatan khidmat dibuat.
“Mengapakah perkhidmatan naib-naib canselor tersebut ditamatkan sebelum tempoh berakhir dan apakah tiada perancangan teliti untuk menggantikannya?” kata jawatankuasa berkenaan.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai