Wanita didenda RM5,000 guna surat Miti syarikat lain untuk operasi premis
Seorang pemilik premis ukiran kayu didenda RM5,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di Kajang hari ini kerana menggunakan surat Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) atas nama syarikat lain untuk pengoperasian premisnya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap Intan Zarina Md Sappery, 49, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan mengemukakan surat kebenaran beroperasi oleh Miti bukan milik premisnya ketika pemeriksaan dibuat oleh pegawai penguat kuasa di premisnya di Taman Industri Selesa Jaya, Balakong di Kajang pada 10.40 pagi, 9 Jun lepas.
Wanita itu selaku Orang Kena Saman (OKS) didakwa mengikut Seksyen 22(d) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Intan Zarina membayar denda tersebut.
Sebelum menjatuhkan hukuman, Muhammad Noor Firdaus berkata mahkamah memandang serius kesalahan dilakukan itu kerana telah melanggar PKP.
“Laporan (terkini) menunjukkan kluster di tempat kerja adalah antara penyumbang utama peningkatan kes positif Covid-19.
"Hukuman yang akan saya jatuhkan ini harus mencerminkan pandangan mahkamah yang mana mengetuai sentimen awam,” katanya.
Ketika rayuan, Intan Zarina yang tidak diwakili peguam memohon hukuman denda minimum atas alasan itu adalah kesalahan pertamanya dan perniagaannya juga terjejas berikutan pandemik Covid-19.
Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran supaya OKS tidak mengulangi kesilapan sama.
Di mahkamah sama, pengawal keselamatan Shah Azwan Abdullah dipenjara 12 bulan selepas mengaku bersalah mencuri telefon bimbit dan wang tunai RM20 milik pemandu e-hailing, Tyndale Hiew Ten Der, 47, di dalam sebuah kereta di Jalan Jasmin 17 di Kajang pada 11 malam 9 Jun lepas.
Pertuduhan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Shah Azwan, 23, yang tidak diwakili peguam memohon denda minimum kerana dia menanggung ibunya namun Norhana memohon hukuman penjara kerana tertuduh mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan serupa.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai