Skip to main
Logo Malaysiakini

Penjaja tarik balik dakwaan 'diugut polis'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Penjaja Lim Thiam Fook memutuskan untuk menukar keterangan dan menarik dakwaan dia diperas ugut tiga anggota polis pada 2 Jun lalu, kerana gagal menunjukkan surat kebenaran beroperasi ketika sekatan pergerakan penuh.

Bagaimanapun, sebab di sebalik keputusan untuk menarik balik keterangan polis itu berubah ketika sidang media bersama Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng, semalam.

Pada mulanya, lelaki berusia 21 tahun itu dikatakan mahu menukar keterangannya kerana dia mengaku telah membuat dakwaan palsu dan insiden "peras ugut" itu tidak pernah berlaku.

Ketika sidang media semalam, Lip Eng mengecam Thiam Fook - yang turut menyertai sidang media - kerana "menipu" polis, media dan orang awam.

"Beberapa hari ini, kita dapati kenyataannya tidak konsisten. Pada Isnin (14 Jun), dia tiba-tiba menukar keterangan, mengaku yang dia buat dakwaan palsu dan kata insiden itu tak berlaku.

"Mengapa dia buat begitu?" soal Lip Eng.

Menurut Lip Eng, Thiam Fook membuat keputusan untuk menukar keterangan selepas disoal siasat polis pada Isnin lalu.

Katanya, pembantunya yang mengiringi penjaja itu dan pegawai siasatan beberapa kali memberi peringatan akan akibat membuat laporan palsu dan menasihatinya agar tidak berbuat demikian.

Katanya lagi, Thiam Fook bertegas untuk menukar keterangan awalnya dan mengaku membuat laporan palsu.

"Saya ingin memohon maaf kepada semua pihak, terutama pihak polis dan media atas kesilapan besar dakwaan palsu oleh anak muda ini," katanya pada sidang media semalam.

Sidang media pada 6 Jun lalu

Lip Eng kemudian meminta Thiam Fook memberi penjelasannya.

Bagaimanapun, Thiam Fook menafikan yang dia menipu dan bertegas kejadian peras ugut itu memang berlaku.

Menurutnya, dia menukar keterangan polis kerana mahu perkara tersebut selesai secepat mungkin kerana tekanan yang dihadapinya.

Katanya, dia tertekan dengan siasatan berterusan pihak polis serta perhatian daripada pihak media dan orang awam selepas insiden itu dilaporkan pada minggu lalu.

"Saya hanya penjaja. Tetapi sekarang saya perlu ke balai polis hampir setiap hari...Saya perlu kerja dan saya tak mahu ini terus berlanjutan. Ini hanya bazirkan masa kerana saya tak dapat cam anggota (yang didakwa peras ugut).

"Saya nak isu ini selesai secepat mungkin. Sebab itu saya putuskan untuk tarik balik keterangan awal," katanya lagi.

Dipanggil beberapa kali

Thiam Fook berkata, polis pergi ke gerainya dan memanggilnya untuk memberi keterangan di balai sebanyak beberapa kali pada minggu lalu.

Katanya lagi, kali terakhir dia ke balai polis Isnin lalu, dia menghabiskan masa selama lapan jam di sana.

"Saya habiskan lapan jam pada Isnin lalu dan tak boleh berniaga...Saya benar-benar tak mahu ia berterusan. Saya cuma nak selesaikan hal ini dengan cara sendiri," katanya lagi.

Ditanya jika dia faham akan kesan menukar keterangan kepada polis, Thiam Fook berkata dia ada memikirkannya dan sanggup menghadapi sebarang akibat.

Dia juga beberapa kali berkata yang dia tidak berbohong tentang insiden "peras ugut".

Dia juga pada mulanya tidak berhasrat untuk membuat sidang media dan tidak mahu menghebohkan perkara itu, katanya lagi.

"Saya tak boleh hadapi tekanan ini lagi. Saya cuma nak ia cepat-cepat berakhir.

"Ada kala saya perlu beri keterangan beberapa kali sehari, ada juga sampai tengah malam. Saya cuma nak berniaga. Apatah lagi saya tak boleh cam polis (yang didakwa terlibat)," katanya lagi.

Mengulas penjelasan Thiam Fook, Lip Eng berkata undang-undang hanya mengambil kira keterangan yang diambil polis.

"Apa saja yang dia katakan tidak akan diambil kira di bawah undang-undang. Mereka hanya akan rujuk keterangan kepada polis," katanya.

Dia juga berkata pembantunya telah mendapatkan kebenaran Thiam Fook untuk membuat sidang media pada 6 Jun lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul ACP Beh Eng Lai mengesahkan Thiam Fook mengaku membuat laporan palsu.

"Dia meminta maaf kepada saya atas kesilapan itu," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, Beh memberitahu Malaysiakini yang lelaki itu tidak dapat mengecam mana-mana suspek ketika prosedur pengecaman di balai polis pada Isnin lalu.

Pada 6 Jun lalu, Thiam Fook dan pembantunya yang berusia 13 tahun - yang membantunya sempena cuti sekolah - mengadakan sidang media bersama-sama Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng, dan mendakwa dia diperas ugut tiga anggota polis ketika memandu ke restoran tempat dia berniaga pada awal pagi 2 Jun.

Dia mendakwa ketika polis mengetahui bahawa kedua-duanya tidak mempunyai surat kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk beroperasi, mereka mengancam untuk menahan mereka jika tidak dapat membayar denda berjumlah RM3,000.

Dia mendakwa anggota polis turut menumpahkan sup jualannya dengan alasan untuk "memeriksa dadah" sebelum mengambil RM500 daripadanya untuk "menyelesaikan isu itu".

Polis menyiasat kes tersebut mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan atas kesalahan pemerasan.

[Baca berita asal]