Skip to main
Logo Malaysiakini

Kisah Puan Yee Lai dan anak angkatnya, Razak semasa PKP3.0

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KATA MP l Kelmarin, saya telah menyampaikan bantuan kepada keluarga Puan Yee Lai. Dia tinggal bersama anak angkatnya, Abdul Razak.

Puan Yee Lai telah menghantar mesej di Facebook meminta bantuan dari pihak saya. Sejurus mendapat butiran-butiran penting berkaitan keluarganya, pihak saya telah menguruskan apa yang perlu bagi menyampaikan bantuan.

Puan Yee Lai berumur 49 tahun merupakan seorang ‘survivor’ barah rahim dan kini dia sedang menjalani rawatan susulan di Hospital Sungai Buloh, Selangor. Dalam masa yang sama, dia juga menghidap penyakit jantung, sakit tulang belakang dan juga sakit “trigger finger”. Disebabkan penyakit-penyakit ini, dia tidak dapat bekerja.

Selain itu, anak angkatnya, Abdul Razak berumur 26 tahun juga tidak lagi bekerja kerana bisnes tempat kerja lamanya tidak berapa bagus dan syarikat tersebut terpaksa membuang beberapa orang pekerja. Oleh yang demikian, mereka tiada sumber pendapatan.

Selama ini, keluarga kecil mereka bergantung kepada pendapatan Abdul Razak.

Buat masa ini, mereka menghadapi kesukaran untuk membayar sewa rumah dan membeli makanan. Sebelum ini, mereka menyewa sebuah bilik di Ulu Kepong dengan sewa sebanyak RM300.

Mereka berpindah setelah berjaya mendapatkan flat yang selesa di Kepong Indah untuk mereka berdua diami. Namun dek kerana Perintah kawalan Pergerakan (PKP) penuh yang dilaksanakan bulan ini, mereka mengalami kesukaran untuk membayar sewa rumah sebanyak RM550. Sewa mereka juga sudah tertunggak dua bulan lamanya.

Puan Yee Lai ada bercadang untuk mencari pendapatan melalui jualan hasil jahitannya di platform seperti Shopee, tetapi produknya masih dalam pembikinan dan dia bercadang untuk menjualnya setelah dia mempunyai produk “ready stock”.

Saya faham situasi mereka tidak mudah. Justeru, saya membantu mereka dengan menyelesaikan sewa rumah mereka dan memberikan mereka bantuan makanan. Saya juga memberitahu Abdul Razak pihak saya akan cuba mencarikan kerja yang sesuai untuknya.

Sewaktu membantu keluarga tersebut, apa yang menarik perhatian saya adalah hubungan “anak beranak” ini. Puan Yee Lai seorang yang berhati mulia kerana dia telah menjadikan Abdul Razak anak angkatnya. Walaupun mereka berbeza bangsa dan agama, hubungan mereka saling tak tumpah, sama seperti seorang ibu dan anak.

Kisahnya bermula apabila Abdul Razak meminta bantuan dari Puan Yee Lai. Waktu itu, Abdul Razak merupakan seorang gelandangan dan dia hidup begitu sejak umurnya 15 tahun.

Selepas kematian ibu bapanya, dia terpaksa hidup merempat. Dia juga sudah terputus hubungan dengan saudara maranya yang lain. Dia sudah mengembara hampir ke semua negeri di Semenanjung untuk mencari kerja.

Dia juga beritahu saya yang pada ketika dia tinggal di jalanan dahulu, dia membeli sebungkus gula dan dan hanya mengambil satu sudu gula untuk setiap satu hari, semata-mata untuk berjimat-cermat.

Ketika umurnya mencapai 18 tahun, dia dipertemukan dengan Puan Yee Lai. Pada ketika itu, dia meminta bantuan makanan dari Puan Yee Lai. Mengetahui keadaan hidupnya, Puan Yee Lai berasa kasihan dan terus mengambilnya menjadi anak angkatnya. Sesungguhnya kasih sayang itu tidak mengenal bangsa atau agama.

Bagi orang-orang Kepong yang memerlukan, jangan malu dan segan untuk hubungi saya. Waktu PKP ini bukan waktu yang mudah untuk semua. Elaun MP saya bagi tiga bulan ini saya dedikasikan untuk warga Kepong yang memerlukan. Selagi saya boleh bantu, saya akan cuba sedaya upaya saya.


LIM LIP ENG adalah ahli parlimen Kepong mewakili parti DAP.

Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.