Skip to main
Logo Malaysiakini

DAP tangguh kongres, PKR sambung cara maya

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kongres Parti DAP yag sepatutnya berlangsung Ahad ini, ditangguhkan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP), kata setiausaha organisasi kebangsaan DAP, Anthony Loke.

Katanya dalam satu kenyataan hari ini, DAP telah menerima surat daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS), Jasri Kassim yang bertarikh 11 Jun lalu terhadap rayuan untuk menangguhkan kongres parti DAP.

Dalam surat itu, katanya, ROS memutuskan bahawa pelaksanaan mesyuarat agung tahunan bagi semua pertubuhan berdaftar termasuk parti politik hendaklah ditangguhkan sepanjang tempoh pelaksanaan PKP 3.0.

“ROS juga menghendaki pihak kami untuk mengemukakan cadangan tarikh pelaksanaan Kongres Parti DAP yang baru dan SOP (prosedur operasi standard) tambahan sebaik sahaja tempoh PKP berakhir.

“Justeru itu, saya ingin mengesahkan secara rasmi bahawa Kongres Parti DAP yang ditetapkan sebelum ini untuk berlangsung pada Ahad, 20 Jun 2021, adalah ditangguhkan. 

“Sehubungan itu, tarikh baru kongres parti DAP hanya boleh ditentukan selepas tempoh PKP ditamatkan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan itu.

Sementara itu, Kongres Nasional Tahunan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2020 yang ditangguhkan sebelum ini akan diadakan pada Ahad, 20 Jun ini.

Ketua Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad yang juga pengarah Kongres Nasional berkata, keputusan itu diambil PKR selepas merujuk kenyataan media ROS pada 9 Jun.

“Dalam surat daripada ROS kepada PKR pada 21 Mei lepas, parti diberikan masa sehingga 30 Jun untuk melaksanakan kongres,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kongres itu telah diadakan secara dalam talian bermula 4 Jun, namun diumumkan tangguh pada 5 Jun ekoran arahan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan ROS.

Kata Nik Nazmi, dalam kongres yang akan diadakan semula itu, semua 2,000 perwakilan akan menyertainya secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom di kediaman masing-masing, bermula jam 8 pagi hingga 2 petang.

Menurutnya juga, kongres itu akan memfokuskan isu ekonomi, kesihatan dan pemulihan demokrasi.