Rayuan tunggakan cukai RM1.69 bilion Najib dijadual semula ke 11 Ogos
Mahkamah Rayuan menetapkan 11 Ogos ini sebagai tarikh baharu bagi mendengar rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengarahkan beliau membuat pembayaran RM1.69 bilion yang tertunggak kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Peguam Najib, Wee Yeong Kang ketika dihubungi berkata rayuan pada mulanya dijadual untuk didengar hari ini, namun ia dilapangkan disebabkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Pendengaran rayuan kini dijadualkan pada 11 Ogos,” katanya selepas perkara berkenaan hari ini dijadikan sebagai pengurusan kes secara dalam talian oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Mariam Hasanah Othman.
LHDN diwakili oleh Peguam Kanan Hasil Al-Hummidallah Idrus.
Pada 22 Julai tahun lepas, Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Najib perlu membayar tunggakan cukai tambahan LHDN bagi tempoh 2011 hingga 2017 berjumlah RM1.69 bilion selepas membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus terhadapnya.
Penghakiman terus ialah apabila mahkamah memutuskan kes tertentu melalui hujahan tanpa mendengar keterangan saksi dalam perbicaraan.
Najib kemudiannya memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu di Mahkamah Rayuan.
Mengikut Seksyen 103 (2) Akta Cukai Pendapatan 1967 (ITA), seseorang yang diperintahkan membayar taksiran itu perlu menjelaskan bayaran itu kepada LHDN walaupun rayuan difailkan.
Pada 4 Feb lepas kerajaan melalui LHDN, memfailkan notis kebankrapan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur terhadap Najib selaku penghutang kerana gagal membayar cukai pendapatan berjumlah RM1.69 bilion yang ditetapkan Mahkamah Tinggi.
Pada 14 Jun Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk menggantung pelaksanaan perintah bahawa beliau perlu membayar cukai tertunggak sebanyak RM1.69 bilion kepada LHDN.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai