Hisham: Jangan 'rampas' kestabilan politik sebelum Covid-19 selesai
Menteri Luar Hishammuddin Hussein menggesa anggota parlimen untuk memberi tumpuan kepada usaha kerajaan dalam menangani wabak Covid-19 terlebih dahulu dan tidak "merampas" kestabilan politik sedia ada.
Hishammuddin berkata ini kerana negara memerlukan kestabilan politik untuk menangani wabak Covid-19.
“Kestabilan ini mungkin membolehkan Parlimen dibuka semula. Kestabilan ini juga mungkin akan memberikan hak kepada ahli-ahli Parlimen untuk bertanya soalan dan kerajaan untuk menjawab ketika sesi persidangan.
“Tetapi yang paling mustahak kestabilan ini mestilah tidak dirampas," katanya dalam artikel di laman webnya hari ini.
"Saya faham bahawa kestabilan yang saya mahukan ini tidak akan kekal selama-lamanya. Tetapi permohonan saya sederhana - hanya sehingga Covid-19 diselesaikan," katanya lagi.
Kata Hishammuddin, sekiranya berlaku perubahan dalam landskap politik, ia akan mempengaruhi Pelan Pemulihan Nasional.
"Adakah Rancangan Pemulihan Nasional akan dibatalkan walaupun hanya untuk menghasilkan sesuatu yang baru?
"Pada masa-masa sukar ini, rakyat Malaysia tidak boleh diseret ke dalam perebutan kuasa yang lain," katanya lagi.
Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelan pemulihan yang menggariskan kriteria harus dicapai untuk pelonggaran sekatan. Pelan itu terbahagi kepada empat fasa.
Buat masa sekarang, hanya perkhidmatan ekonomi penting yang dibenarkan beroperasi.
Bagaimanapun, kerajaan berharap dapat memasuki fasa 2 pada Julai, dengan sejumlah lagi sektor ekonomi akan dibenarkan beroperasi jika purata kes harian kurang daripada 4,000 kes.
Fasa 3 pula dijangka pada September dengan sektor sosial juga dijangka akan kembali dibuka, jika purata kes harian jatuh ke bawah angka 2,000 dan kadar vaksinasi mencecah 40 peratus.
Muhyiddin juga berkata parlimen boleh dibuka semula ketika Malaysia memasuki fasa ketiga pelan pemulihan Covid-19.
Walaupun Belanjawan 2021 berjaya diluluskan pada 15 Disember tahun lalu, tidak dapat dipastikan jika Muhyiddin masih memiliki majoriti di Dewan Rakyat berikutan perhimpunan agung Umno Mac lalu menetapkan untuk memutuskan hubungan dengan Perikatan Nasional (PN) dan Bersatu.
Sebelum Belanjawan 2021, Umno telah bersama-sama dengan PH untuk menjatuhkan timbalan presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu daripada jawatan menteri besar Perak.
Hishammuddin berkata lagi, anggota parlimen tidak harus terus-menerus terjebak dalam "realpolitik" kerana krisis yang dihadapi negara memerlukan mereka bekerjasama sebagai kolektif.
"Sekiranya niat pembangkang hanya menggunakan Parlimen untuk mendapatkan kuasa dan bukannya peranan Parlimen yang dimaksudkan untuk memberikan wacana bipartisan yang membina, maka ini akan menjadi masalah.
“Saya tidak nafikan pembangkang berhak mengkritik, tetapi kecelaruan politik tidak akan diterima oleh rakyat terutamanya di saat-saat yang sukar ini,” katanya.
Hishammuddin adalah sebahagian daripada pembangkang sehinggalah pada 24 Februari lalu, apabila Langkah Sheraton dilakukan sehingga menjatuhkan pentadbiran PH.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai