Skip to main
Logo Malaysiakini

Wan Saiful: Langkah k'jaan tangani Covid-19 berjaya selamatkan 8,000 orang

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dengan jumlah kes harian Covid-19 baru kini dalam kadar 5,000, Ketua Penerangan Bersatu Wan Saiful Wan Jan mengatakan ia adalah bukti bahawa pendekatan kerajaan menangani Covid-19 berjaya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wan Saiful mengatakan Kementerian Kesihatan pada awalnya mengunjurkan bahawa sekiranya perintah kawalan pergerakan (PKP) tidak dilaksanakan, kes Covid-19 harian akan mencapai 13,000 semalam.

"Ini adalah satu data yang penting. Ia bermaksud langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan telah menyelamatkan lebih 8,000 orang.

"Data ini menunjukkan strategi kerajaan sebenarnya berjaya," katanya.

Selama tujuh hari terakhir, purata kes harian Covid-19 adalah 5,746.

Pada 12 Jun, Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah mendedahkan model SEIR yang mengunjurkan pertumbuhan kes baru Covid-19 harian untuk tempoh 1 April hingga 30 Jun.

Ramalan itu mengambil kira R-naught 1.2 tanpa dan menjangkakan kes Covid-19 harian akan mencapai 13,000 pada sekitar 14 Jun.

Namun, R-naught telah menurun secara beransur-ansur sejak memuncak pada 1.21 pada 23 Mei.

Unjuran model SEIR hanya diumum secara berkala baru-baru ini.

 

Sehubungan dengan itu, Wan Saiful mencadangkan bahawa setiap kali angka Covid-19 harian baru diumumkan, ia mesti dibandingkan dengan angka yang diunjurkan sebelumnya sebagai perbandingan.

"Mereka yang biasa dengan metodologi perbandingan statistik pasti akan maklum mengenai kepentingan perbandingan dengan “control group” dalam mengukur keberkesanan sesuatu intervensi," katanya.

Mengenai Pelan Pemulihan Negara yang diumum kerajaan, Wan Saiful mengatakan janji Muhyiddin untuk membuka kembali Parlimen pada Fasa 3 menunjukkan bahawa Perikatan Nasional komited terhadap demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan.

"Perdana menteri telah menyatakan dengan tegas bahawa beliau mahu parlimen dibuka sebaik sahaja keadaan membenarkan.

" Ini adalah sikap Muhyiddin Yassin sejak dari awal lagi. Seingat saya, sejak dari permulaan darurat Muhyiddin sudah bercakap mengenai bagaimana hendak memastikan parlimen bersidang segera.

"Kini garis masa telahpun diumumkan," kata Wan Saiful.

Menurut Pelan Pemulihan Negara, ekonomi akan mula dibuka semula pada Fasa 2 sementara Parlimen dan sekolah akan dibuka semula pada Fasa 3.

Meskipun bulan sasaran untuk pelaksanaan fasa-fasa itu sudah diumumkan, peralihan antara satu fasa ke fasa lain bergantung pada kriteria tertentu.

Wan Saiful meminta orang ramai untuk menyokong Pelan Pemulihan Negara dan memastikan bahawa mereka didaftarkan untuk vaksinasi.

Dia mengatakan bahawa Malaysia hanya dapat mengatasi krisis Covid-19 jika semua orang melakukan peranan masing-masing.