Skip to main
Logo Malaysiakini

Dewan perniagaan gesa k'jaan perinci kriteria peralihan fasa pelan pemulihan negara

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) menggesa perincian mengenai kriteria yang diumumkan kerajaan berhubung peralihan empat fasa Pelan Pemulihan Negara.

Menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam, peralihan dari satu fasa ke fasa lain, beberapa kriteria perlu dicapai melibatkan jumlah kes Covid-19 harian, kaasiti penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) dan dan kadar vaksinasi.

Namun, NCCIM mengatakan harus ada perincian dan ketelusan untuk ambang yang ditetapkan.

Daripada segi jumlah kes Covid-19 harian, NCCIM mengatakan bahawa kerajaan harus menjelaskan apakah ia berdasarkan pada purata - misalnya tujuh, 14 atau 21 hari - atau tidak.

Daripada segi penggunaan katil ICU pula, NCCIM berkata kerajaan harus menjelaskan tahap yang dianggap "sederhana" atau "mencukupi".

Sementara daripada segi vaksinasi, NCCIM menggesa kerajaan menjelaskan apakah ia melibatkan satu dos vaksin atau vaksinasi penuh.

 

NCCIM adalah gabungan untuk lima kumpulan perniagaan tempatan terbesar di negara ini - Dewan Perdagangan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM), Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Bersekutu Malaysia (MAICCI), Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI) dan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM).

Tambah NCCIM, kerajaan juga harus mempertimbangkan untuk memperluas skim bantuan kewangan dan bantuan pendapatan kepada PKS dan perniagaan kecil sebagai sebahagian daripada Pelan Pemulihan Negara.

Ini termasuk skim moratorium pinjaman bank yang disasarkan, pelanjutan skim subsidi gaji berbanding satu bulan dalam pakej Pemerkasa Plus, memberikan geran khas, memberikan jaminan hutang kerajaan, melanjutkan kutipan HRDF hingga akhir Disember dan memberikan diskaun kepada syarikat yang mempunyai pekerja asing dengan permit yang sudah tamat.

NCCIM juga mengesyorkan pemberian wang tunai RM500 kepada pemandu pelancong, pemandu teksi, pemandu bas dan pemandu e-hailing.

NCCIM turut mendesak kerajaan menyelaraskan sesama mereka ketika merumuskan protokol Covid-19 untuk memastikan konsistensi dan keseragaman dalam usaha penguatkuasaan.

"Memandangkan kita memiliki pengalaman lebih satu tahun untuk menangani pandemik ini, persiapan yang tidak memadai, penundaan dan ketidaktentuan untuk kekeliruan yang dapat dielakkan sangat tidak dapat diterima kerana ia menambah beban yang tidak perlu kepada isi rumah, individu dan perniagaan, yang sudah tertekan dan masih berjuang untuk tetap bertahan semasa wabak," kata NCCIM.