Derita sakit Nawi Sulaiman
Seorang warga emas, Nawi Sulaiman, 74, bergelut dengan derita kanser kulit tahap akhir apabila ketumbuhan kecil sebesar ibu jari di bahagian tepi mata kanannya mula membesar hari demi hari sejak 2018.
Bapa kepada enam orang anak itu juga lumpuh daripada bahagian pinggang sehingga kaki pada April lalu, sekali gus menambah penderitaan yang dihadapinya.
Zaharah Daud, 66, berkata, suaminya berhenti kerja sebagai pemandu lori akibat terlantar sakit pada tahun lalu kerana keterbatasan pergerakan fizikal akibat penyakit tersebut.
“Pada tahun 2018 lalu, mulanya ketumbuhan itu hanyalah sebesar biji ibu jari dan dengan segera saya membawanya ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu, untuk merujuk pihak hospital.
“Lalu, pakar perubatan telah mengambil sampel biopsi untuk mendapatkan perincian lanjut tentang penyakit berkenaan dan disahkan ia adalah penyakit kanser kulit dan jika mengikut perancangan pakar, dia sepatutnya menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan di mata namun disebabkan perasaan takut kerana faktor usia, dia enggan melakukannya.
“Ketumbuhan itu mula mengganas lalu membesar dan sejak awal tahun lepas, suami saya mula hilang penglihatan mata sebelah kanan dan terlantar serta tidak boleh bergerak ditambah dengan penyakit lumpuh yang mula menyerangnya pada bulan April tahun ini,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di rumahnya di Kampung Gajah Mati, Kota Bharu, semalam.
Zaharah Daud berkata, dia akan mengeluarkan belanja lebih kurang RM1,000 sebulan untuk membeli alat kelengkapan dan keperluan suaminya termasuk alat mencuci untuk rawatan ketumbuhan itu.
“Pada setiap bulan, saya perlu membelanjakan lebih kurang RM1,000 untuk membeli lampin pakai buang dan barang keperluan lain selain membelanjakan alat pencuci mata yang menelan kos ratusan ringgit.
“Kalau dahulu, kami tidak perlu membeli alatan mencuci itu kerana kami akan berulang-alik ke klinik untuk mencuci mata tersebut, tetapi sekarang sejak suami saya terlantar sakit dan tak boleh bangun, saya akan mencucinya sendiri.
“Saya akan mencuci ketumbuhan pada matanya sekurang-kurangnya tiga kali sehari untuk mengelakkan darah dan nanah daripada terus mengalir dan dijangkiti kuman,” katanya.
Terdahulu keluarga berkenaan menerima sumbangan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jelawat Abdul Aziz Kadir berupa sebuah katil boleh laras, bakul makanan dan sumbangan wang tunai kepada Nawi Sulaiman sekeluarga.
Sementara itu, Zaharah Daud berkata lagi, ujian yang ditimpanya terasa semakin berat apabila anak kelimanya juga turut menghidapi penyakit membimbangkan.
“Selain itu, anak kelima saya yang selalu membantu saya menjaga ayahnya juga sedang sakit kerana menghidap penyakit jangkitan kuman pada hati.
“Disebabkan sakit, dia tidak boleh melakukan kerja berat dan anak yang lain hanya bekerja kampung.
“Sekarang, pekerjaan tidak tentu, lagi lagi dalam keadaan sekatan pergerakan penuh, jadi dengan bantuan saudara mara dan sedekah orang ramai, ianya membantu kami sekeluarga.
“Saya berharap orang ramai sudi membantu kami untuk meringankan beban kami sekeluarga,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban boleh menghubungi anaknya, Nabil Fikri di talian 019-9997101.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai