Skip to main
Logo Malaysiakini

KATA MP | Masa untuk pertimbang Bantuan Prihatin Elektrik 2.0

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

KATA MP | Kita sudah menghampiri Julai, oleh itu kerajaan khususnya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) sedang mempersiap penentuan ketidakseimbangan pelepasan kos bahan api (ICPT) mengikut kerangka kawal selia berasaskan insentif (IBR) bagi tempoh Julai hingga Disember 2021.

Negara pula sedang berdepan dengan satu lagi perintah kawalan pergerakan (PKP).

Menerusi Pelan Pemulihan Negara yang diumumkan sekolah hanya akan dibuka paling awal pada Sept ini, manakala pembukaan semula ekonomi dijangka berlaku akhir tahun.

Dengan kata lain, ramai orang yang akan kekal di rumah untuk bekerja atau belajar pada separuh kedua 2021. Antara kesan sampingan tinggal di rumah ialah bil elektrik yang melambung tinggi.

Berdasarkan keputusan yang dibuat pada penghujung 2019 mengenai mekanisme ICPT untuk Jan hingga Jun 2020, Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE) mampu mengumpulkan lebih daripada RM1.5 bilion pada penghujung Jun 2020.

Ia terdiri daripada RM200 juta KWIE sedia ada, RM594 juta surcaj bahan api daripada pengguna komersial dan perindustrian (kos bahan air), serta RM774 juta simpanan daripada hasil pelarasan IBR (kos penjanaan).

Menurut jawapan balas parlimen pada akhir tahun lalu, RM700 juta KWIE digunakan untuk menyokong skim Bantuan Prihatin Elektrik (BPE) yang menawarkan diskaun sebanyak RM77 sebulan kepada pengguna elektrik dari April hingga Jun.

Dapatkan dana tambahan

Oleh kerana harga arang batu global berterusan merosot pada separuh kedua 2020 dan mengambil kira kenaikan harga gas paip yang dijadualkan, pemulihan harga arang batu global sejak Jan 2021, potensi penjimatan kos penjanaan IBR dan rebat ICPT yang sederhana bagi tempoh Jan hingga Jun 2021, dianggarkan masih ada dana yang mencukupi dalam KWIE.

Tambahan pula, sebelum meninggalkan pejabat (berikutan pertukaran kerajaan pada Feb 2020) kami berjaya mendapat komitmen daripada penjana kuasa bebas (IPP) untuk membayar hutang tertunggak 10 tahun mereka kepada Akaun Amanah Bekalan Industri Elektrik (AAIBE).

Ia berjumlah RM100.7 juta untuk AAIBE di Semenanjung Malaysia dan RM4.8 juta untuk AAIBE Sabah pada akhir 2020. Ia juga boleh digunakan untuk mengurangkan impak tarif.

Kita kini hidup dalam suatu masa yang luar biasa. Penjimatan KWIE dan AAIBE yang dilaksanakan sebelum ini adalah untuk menghadapi hari sukar seperti kini.

Walaupun penting untuk menguruskan jangkaan pengguna terhadap tarif berdasarkan harga bahan api, adalah lebih penting untuk membantu rakyat biasa bagi melalui masa-masa sukar ini.

Dengan itu, saya menyeru Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Annuar Nasarah memimpin pasukannya untuk memanfaatkan dana KWIE dan AAIBE.

Dan jika boleh dapatkan dana tambahan daripada Kementerian Kewangan.

KeTSA disaran untuk merancang BPE 2.0 yang komprehensif untuk membantu secara bersasar keluarga daripada kumpulan B40 dan M40, serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang kini terjejas.

KeTSA juga disaran tidak memberikan subsidi secara blanket (menyeluruh) kepada industri yang memperoleh keuntungan berganda ketika pandemik ini, seperti industri pembuat sarung tangan dan sebagainya.


YEO BEE YIN ialah ahli parlimen Bakri dan bekas menteri Sain, Teknologi dan Inovasi kerajaan Pakatan Harapan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.