Skip to main
Logo Malaysiakini

Sim gesa tubuh badan bebas siasat isu daftar Rela tanpa rela

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim, menggesa supaya siasatan dijalankan bagi mencari pencerahan terhadap isu ramai orang didaftarkan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) tanpa pengetahuan mereka.

Sim berkata terdapat kebimbangan berlaku penyalahgunaan data peribadi, peruntukan atau penugasan strategik berikutan wujudnya jumlah anggota yang mengelirukan.

"Kita harus dibenarkan bertanya lebih lanjut mengenai isu ini di Parlimen.

"Badan bebas ditubuhkan dan menyiasat perkara ini untuk mengemukakan laporan kepada parlimen," kata Sim kepada Malaysiakini semalam.

Bekas timbalan menteri belia dan sukan itu menekankan Kementerian Dalam Negeri - yang bertanggungjawab ke atas Rela - harus menjelaskan perkara itu.

Sebelum ini Malaysiakini dilaporkan ahli parlimen DAP itu dan isterinya merupakan antara individu yang mendapati diri mereka didaftarkan sebagai anggota Rela walaupun tidak pernah berbuat demikian. 

Anggota bertambah, peruntukan naik

Berdasarkan Belanjawan 2012, Rela mempunyai 2.59 juta anggota pada tahun 2010 yang meningkat menjadi 3 juta pada tahun 2011. 

Rela menafikan mereka mendaftarkan sukarelawan tanpa persetujuan dan berjanji untuk memulakan siasatan dalaman mengenai perkara itu.

Pada masa sama, jabatan itu berkata pihaknya sebelum ini menjalankan program pemutihan bagi bagi menamatkan anggota yang didapati tidak aktif selama lima tahun. 

Selain masalah data peribadi, kewujudan pendaftaran anggota tanpa rela itu juga menimbulkan tanda tanya mengenai peruntukan kerajaan untuk badan beruniform itu yang meningkat berdasarkan jumlah keanggotaannya.

Gambar fail

Berikutan penambahan 400,000 anggota Rela pada 2011, peruntukan untuk mereka meningkat daripada RM65.8 juta pada tahun itu kepada RM78 juta pada 2012.

Untuk tahun 2021, kerajaan memperuntukkan RM153 juta kepada kumpulan sukarelawan berkenaan termasuk kos untuk menambah baik kemudahan latihan.

Sebahagian daripada peruntukan itu juga adalah tujuan membayar elaun sukarelawan yang mengikuti latihan serta bertugas dengan kadar RM6 sejam.

Terdapat juga kos yang meliputi pakaian seragam percuma dan perlindungan perubatan dan insurans.

Seorang wakil dari Rela memberitahu Malaysiakini sukarelawan berdaftar yang tidak hadir untuk latihan tidak akan mendapat elaun.

Sim yang tidak pernah hadir untuk tugasan Rela berkata dia tidak mendapat elaun sepanjang tempoh namanya didapati didaftarkan dalam pasukan tersebut.

Begitu juga pengguna Twitter @imbashrahman memberitahu Malaysiakini dia dan adiknya - yang juga secara tidak sengaja didaftarkan ke dalam Rela - belum mendapat elaun.

Dia juga mendedahkan adik perempuannya secara sukarela mendaftar sebagai anggota Rela sebagai sebahagian daripada kerjanya di Majlis Amanah Rakyat (Mara) tetapi belum memulakan tugas.

“Adik saya tidak pernah bertugas, dia mendapat pakaian seragam kerana dia bersama Institut Kemahiran Mara (IKM) dan pasukan dari Rela datang untuk melatih pelajar-pelajar.

"Dia dapat seragam Rela sebab dia adalah salah seorang tenaga pengajar di sana," kata pengguna Twitter itu ketika dihubungi.

Apa yang menghairankan, adiknya yang mendaftar dalam Rela mendapati dia tidak lagi dengan badan beruniform itu ketika dia memeriksa senarai keahliannya.

[Baca berita asal]