Skip to main
Logo Malaysiakini

Ika Ekora, suami mengaku tak salah cederakan anak

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang usahawan kosmetik dan suaminya didakwa di Mahkamah Majistret Pasir Mas, Kelantan, hari ini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan kepada anak perempuan mereka.

Tertuduh, Nurul Atikah Hanafi, 33 dan Mohd Hairie Razali, 33, mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Muhammad Yusoff Abdullah.

Tertuduh yang lebih dikenali sebagai Ika Ekora dan suami didakwa bersama-sama menyebabkan kecederaan kepada anak perempuannya berusia 16 tahun dalan kejadian di rumahnya di Kampung Pauh, Pasir Mas, kira-kira jam 4.30 petang, pada 14 Jun lalu.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Ia boleh membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Hakimie Ab Hadi juga tidak menawarkan sebarang jaminan kepada kedua-dua tertuduh.

Bagaimanapun peguam bela, Muhammad Hasif Hassan yang mewakili tertuduh memohon supaya mereka dibenarkan jaminan dengan kadar minimum kerana tertuduh wanita mengandung lima bulan.

"Mereka memberi kerjasama yang baik apabila menyerah diri kepada polis dan tinggal di Pasir Mas," katanya.

Sementara itu mahkamah membenarkan tertuduh dijamin RM9,000 seorang masing-masing dengan seorang penjamin di samping perlu melapor diri di Balai Polis Pasir Mas dua kali sebulan. 

Mahkamah juga menetapkan 18 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Semalam Malaysiakini melaporkan, seorang usahawan kosmetik wanita dan suaminya ditahan polis selepas disyaki memukul anak perempuan berusia 16 tahun akibat tidak berpuas hati berkait hantaran status di aplikasi WhatsApp.