Skip to main
Logo Malaysiakini

Poster antipelarian tak gambarkan tradisi kemanusiaan rakyat Malaysia

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekas menteri undang-undang Nazri Aziz mengkritik beberapa gambaran negatif baru-baru ini oleh pihak berkuasa mengenai pelarian dan warga asing, dengan mengatakan bahawa ia bertentangan dengan tradisi kemanusiaan Malaysia.

"Saya rasa itu sangat tidak menggambarkan semangat rakyat Malaysia. Rakyat Malaysia sentiasa menyambut pelarian atas dasar kemanusiaan,” kata Nazri kepada Malaysiakini.

Anggota Parlimen Padang Rengas itu mengulas poster Pasukan Petugas Khas Kebangsaan (NTF) mengenai warga asing Rohingya yang dimuat naik di Twitter Jabatan Imigresen Malaysia baru-baru ini, yang kemudian telah dipadam selepas mendapat kecaman.

Poster itu menunjukkan tiga anggota bersenjata polis, tentera dan badan penguatkuasaan maritim dengan latar belakang pelarian yang menaiki kapal kayu di laut lepas, dengan kata-kata dalam Bahasa Malaysia berbunyi (terjemahan): "Migran etnik Rohingya, kedatangan anda tidak diundang" .

Walaupun poster itu telah dipadam, naratif negatif itu dilihat diteruskan ketika Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainudin semalam berkongsi senarai titik panas warga asing berdasarkan aduan Facebook.

Sebuah akhbar harian terkemuka turut menerbitkan sebuah artikel yang menjadi tumpuan kerana dilihat mengandungi pandangan anti-Rohingya.

Ditanya mengenai kenaikan sentimen xenofobik di negara ini, Nazri berkata, dia percaya majoriti rakyat Malaysia masih tidak berkongsi sentimen tersebut.

"Mungkin ada beberapa insiden negatif yang melibatkan masyarakat Rohingya yang membuat orang Malaysia marah, tetapi itu tidak boleh dijadikan alasan menaikkan poster dan mengadakan kempen kebencian terhadap mereka," katanya.

[Baca berita penuh]