Skip to main
Logo Malaysiakini

Parlimen bersidang segera bermaksud sebelum darurat tamat- Abim

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin, membawa maksud ia perlu diadakan sebelum tamatnya darurat, kata Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim).

Presidennya, Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata, ini dapat difahami daripada hasrat Agong bahawa ahli-ahli Dewan Rakyat harus membahaskan Ordinan Darurat dalam persidangan yang akan diadakan nanti.

Dia memetik kenyataan Istana Negara pada Rabu lalu yang berbunyi: "Seri Paduka Baginda menzahirkan pandangan bahawa persidangan parlimen perlu diadakan secepat mungkin. Ini untuk membolehkan Ordinan-ordinan Darurat dan Pelan Pemulihan Negara dibahaskan oleh Ahli-ahli Dewan Rakyat.”

“Abim berpandangan bahawa berasaskan titah yang dikeluarkan, mengisyaratkan bahawa parlimen harus bersidang segera iaitu sebelum tamatnya tempoh darurat.

“Ini secara jelas dizahirkan di dalam titah yang berhasrat untuk ahli-ahli Dewan Rakyat membahaskan ordinan-ordinan darurat seperti yang dipetik di atas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pandangan sama turut diutarakan bekas speakar Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof sebelum ini yang mengulas kenyataan Istana Negara, bahawa sidang parlimen perlu diadakan tanpa menunggu darurat tamat pada 1 Ogos.

Muhammad Faisal menambah, titah Agong itu merupakan satu penzahiran bahawa negara sedang berdepan situasi yang “amat kritkal” akibat kegagalan kerajaan menyelesaikan masalah dihadapi dengan baik. 

Darurat berkuat kuasa dari 11 Jan ke 1 Ogos dan tertakluk pada perubahan dan kemungkinan untuk dilanjutkan. Bagaimanapun, Raja-raja Melayu berpendapat tiada keperluan meneruskan darurat selepas 1 Ogos.

Semalam Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata kerajaan mengambil maklum akan titah Yang di-Pertuan Agong agar parlimen bersidang secepat mungkin.

Kenyataan itu dibuat PMO hampir 24 jam selepas Istana Negara mengeluarkan titah Al-Sultan Abdullah.