Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemilik kedai kopi keliru didenda RM10,000

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang pengusaha kedai kopi meluahkan kebimbangan mengenai tanggapan "salah faham" arahan antara dua kementerian sehingga menyebabkan denda sebanyak RM10,000 dikeluarkan terhadap premis perniagaan yang didakwa beroperasi tanpa kebenaran ketika PKP penuh bermula 1 Jun.

Menurut Jo, yang menjalankan perniagaan kedai kopi di Petaling Jaya, pasukan penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) pada 14 Jun telah mengunjungi premisnya dan mengeluarkan denda bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

"Kami ingin mengetengahkan masalah ini kerana ia bukan hanya mengenai kami.

"Kami sedar bahawa beberapa kedai lain di sepanjang barisan kami juga didenda di bawah perkara yang sama," katanya kepada Malaysiakini.

Perniagaan di bawah sektor makanan dan minuman diklasifikasikan sebagai perkhidmatan penting yang dibenarkan beroperasi di pelbagai peringkat PKP sejak tahun lalu, dengan kebenaran dari Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti).

Sebelum 1 Jun, Jo mendakwa dia telah memohon dan memperoleh kebenaran untuk beroperasi melalui sistem pengurusan pintar Miti berhubung Covid-19 (CIMS 3.0).

Bagi tujuan itu kata Jo, mereka telah memuat turun surat persetujuan baru dari CIMS 3.0 untuk operasi pada 1 Jun.

Ia seperti mana kenyataan akhbar Miti pada 31 Mei, bahawa pendaftaran hanya untuk permohonan baru daripada syarikat tidak memiliki kebenaran sedia ada.

"Pasukan penguatkuasa dari KPDNHEP yang datang ke kedai saya bagaimanapun menegaskan bahawa semua perniagaan mesti mendaftar semula untuk mendapatkan kebenaran beroperasi mulai 1 Jun.

"Begitu banyak perniagaan yang tidak mengetahui syarat ini untuk mendaftar semula mulai 1 Jun. Semua orang hanya mengikuti kenyataan akhbar Miti," katanya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengumumkan PKP 3.0 pada 29 Mei, diikuti dengan kekeliruan mengenai prosedur berhubung kebenaran operasi membabitkan 17 sektor yang diluluskan.

Pada awalnya, kerajaan mengumumkan bahawa semua perniagaan, termasuk yang memiliki kebenaran sedia ada yang dikeluarkan di bawah CIMS 3.0, harus mengemukakan permohonan baru kepada kementerian berkaitan dengan operasi mereka.

Bagaimanapun pada 31 Mei, sehari sebelum PKP 3.0 berkuakuasa, kerajaan mengumumkan semua permohonan kebenaran mesti melalui Miti menerusi CIMS 3.0 yang kemudiannya akan diperhalusi oleh 15 kementerian yang berasingan.

Dalam kes ini, Malaysiakini melihat salinan surat kebenaran yang dikeluarkan ke kedai kopi di bawah CIMS 3.0 yang menyenaraikan KPDNHEP sebagai kementerian atau agensi yang meluluskan.

Malaysiakini turut melihat sepucuk surat dari pemilik kedai kopi itu kepada Menteri Kesihatan Dr Adham Baba, berhubung hukuman denda RM10,000.

Ketika dihubungi, jurucakap Miti mengesahkan pada 31 Mei pihaknya telah menyatakan bahawa perniagaan bawah sektor yang diluluskan dengan pendaftaran sebelumnya melalui CIMS 3.0 boleh terus mendapatkan surat kebenaran operasi tanpa perlu mendaftarkan ulang lagi.

Seterusnya, kementerian mengeluarkan kenyataan kedua pada 12 Jun yang menyatakan bahawa semua surat kebenaran yang dikeluarkan melalui CIMS 3.0 untuk operasi dari 1 Jun tetap terpakai sepanjang PKP 3.0 yang dilanjutkan sehingga 28 Jun.

Sementara itu, jurucakap KPDNHEP berkata jabatan undang-undang kementerian berkenaan sedang meneliti kes pemilik kedai kopi tersebut, berdasarkan ciapan Twitter tular baru-baru ini yang turut dikongsi oleh beberapa selebriti tempatan.

"Kes ini sudah ada di jabatan undang-undang kami. Biarkan mereka menyelesaikan siasatan mereka," kata jurucakap itu kepada Malaysiakini.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.