Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis kompaun 7 individu kumpul di rumah jadi pusat hiburan

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Tindakan tujuh individu berkumpul di dalam sebuah rumah yang dijadikan pusat hiburan tanpa lesen di Teluk Intan, mengundang padah apabila dikompaun RM4,000 seorang kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak Ahmad Adnan Basri berkata serbuan dilakukan sepasukan anggota polis Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada 7.30 malam kelmarin di Jalan Kekabu Off Jalan Maharajalela di Teluk Intan, hasil maklumat orang ramai.

Beliau berkata sebaik tiba di lokasi, terdapat empat lelaki dan tiga perempuan berusia antara 28 hingga 51 tahun dipercayai pemilik premis dan pelanggan berada di dalam rumah berkenaan.

“Pemerhatian mendapati rumah tersebut tidak berkunci dan kedengaran bunyi muzik yang kuat selain terdapat beberapa orang lelaki dan perempuan berkumpul di meja makan di dalam premis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Selain dikenakan kompaun katanya, pemilik rumah berkenaan juga telah ditahan reman dua hari untuk disiasat mengikut Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) Perak 1997 kerana menjalankan aktiviti pusat hiburan tanpa lesen.

“Turut dirampas adalah telefon bimbit salah seorang individu yang mempunyai aplikasi dan pautan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan perjudian dalam talian dan dia ditahan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953,” katanya.

- Bernama