Skip to main
Logo Malaysiakini

Wanita PKR sasar wakili 20 kerusi di parlimen

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Wanita PKR akan meletakkan sembilan lagi calon mewakili kerusi di parlimen untuk pilihan raya umum ke-15 nanti, kata Ketuanya Fuziah Salleh.

Menurut Fuziah, jumlah tersebut merupakan penambahan daripada 11 kerusi parlimen yang telah dimenangi oleh wanita PKR sebelum ini.

“Kita tidak takut menampilkan lebih ramai lagi pemimpin wanita.

“Sekarang pemimpin wanita mempunyai 11 kerusi dalam Dewan Rakyat. MP dari wanita PKR sebanyak 11 orang, satu telah dikhianat… tak apa kita akan ganti,” katanya yang merujuk kepada kerusi Ampang yang diwakili oleh bekas pemimpin kanannya, Zuraida Kamaruddin.

Dalam ucapan penggulungan ketua wanita di Kongres Nasional Tahunan PKR melalui dalam talian hari ini, dia yakin bahawa calon yang bakal mewakili 20 kerusi tersebut bakal menang dalam PRU yang akan datang.

“Insya-Allah para perwakilan, para pemerhati sekalian kita sediakan sembilan lagi ahli parlimen bukan calon tapi ahli parlimen sebab target wanita PKR ialah pada PRU, kita akan menang 20 ahli parlimen wanita.

“Kalau tengok, pembahas wanita itu level yang kita ada dan kita yakin boleh menang 20 kerusi daripada semua Keadilan bertanding dan 20 MP wanita yang mewakili wanita PKR selepas PRU15 akan datang,” katanya.

Untuk rekod, setakat ini kerusi parlimen yang diwakili oleh wanita PKR merupakan Pandan (Wan Azizah Wan Ismail), Kuantan (Fuziah), Permatang Pauh (Nurul Izzah Anwar), Wangsa Maju (Tan Yee Kew), Petaling Jaya (Maria Chin Abdullah), Tawau (Christina Liew), Merbok (Azrina Surip), Hulu Selangor (June Leow), Tangga Batu (Rusnah Aluai) dan Sekijang (Natrah Ismail).