Suntikan vaksin legakan pekerja Pasar Borong KL
Pemberian suntikan vaksin menerusi program Trak Vaksin Bergerak MyMedic@Wilayah hari ini, memberikan keyakinan kepada 2,154 pekerja di Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL), untuk bekerja di kawasan berisiko tinggi itu demi menjamin rantaian bekalan bahan mentah kepada pengguna.
Bagi peniaga sayur Lee Kok Ming, 40, beliau berterima kasih dengan inisiatif yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan itu, sekali gus mengurangkan kebimbangan bekerja di kawasan yang terdedah dengan jangkitan Covid-19 itu.
“Sudah banyak kali pasar borong perlu ditutup kerana ada kes positif Covid-19, saya sendiri lebih enam kali jalani ujian saringan sepanjang wabak ini menular, bila sudah terima vaksin rasa lebih terjamin,” katanya ketika ditemui pada program itu di Kuala Lumpur hari ini.
Pekerja penolak troli, Muhamad Rohaizam Shafiq Mohd Zamry, 21, turut merasa lega apabila penantiannya untuk menerima vaksin selepas mendaftar menggunakan applikasi MySejahtera pada Mac lalu, berakhir hari ini.
“Memang rasa bimbang setiap kali datang kerja, tetapi apa boleh buat, kena juga datang bekerja demi sumber pendapatan. Selain di MySejahtera saya juga pernah cuba mendaftar vaksin AstraZeneca sebelum ini, namun tidak berjaya,” katanya.
Bagi pemandu lori, M Vijayah, 54, walaupun vaksin bukan jaminan untuk tidak dijangkiti, namun sekurang-kurangnya mereka mempunyai perlindungan tambahan, setelah mendapat suntikan itu apabila berhadapan dengan pelanggan setiap hari.
Sementara itu, Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa berharap keutamaan pemberian suntikan vaksin kepada warga PBKL itu, dapat menyakinkan orang ramai yang berurusan di pasar borong tersebut yang merupakan antara pembekal makanan dan bahan mentah utama, di Lembah Klang.
“Pasar borong ini telah melalui (mencetuskan) dua kali kluster iaitu sewaktu di awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 1.0 dan baru-baru ini melibatkan lebih 100 peniaga didapati positif Covid-19.
“Oleh sebab itu, kita merasakan pekerja pasar borong perlu didahulukan untuk mendapat suntikan (vaksin), supaya boleh meneruskan aktiviti perniagaan dalam keadaan lebih terjamin,” katanya ketika meninjau pengoperasian trak vaksin bergerak tersebut.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai