Skip to main
Logo Malaysiakini

NUTP gesa KPM tumpu kualiti bagi pengambilan khas guru

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) berkata pengambilan khas secara 'one-off' seramai 18,702 pendidik oleh Kementerian Pendidikan (KPM) tidak seharusnya bertujuan menangani isu pengangguran di kalangan graduan semata-mata.

Presiden NUTP Aminuddin Awang, yang menyambut baik pengumuman Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata, tumpuan juga harus diberikan terhadap kualiti dan minat mereka yang akan diterima sebagai guru bermula Oktober depan.

"Kita perlukan orang yang mahu menjadi pendidik sebenar dan bukan mereka yang hanya mahukan pekerjaan.

"NUTP berharap program one-off ini bukan sahaja boleh mengatasi masalah pengangguran di kalangan siswazah.

"Lebih penting lagi, ia harus menjadi langkah serius oleh kerajaan untuk mengatasi masalah kekurangan guru melalui pengambilan guru yang berminat dan berkelayakan," kata Aminuddin ketika dihubungi Malaysiakini.

Terdahulu, Radzi berkata, pengambilan khas itu dibuat hasil perbincangan  dengan pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (​JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Menurut Radzi, cabaran utama dalam pengambilan guru adalah kekurangan calon kelulusan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan ketidakpadanan opsyen mata pelajaran.

Antara subjek dengan kekurangan guru yang tinggi di sekolah rendah ialah Bahasa Inggeris, Sejarah, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam, Teknologi Maklumat dan Komunikasi, manakala di sekolah menengah ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Khas, Pendidikan Agama Islam serta Reka Bentuk dan Teknologi.

'Jejaskan kualiti keguruan negara'

Sementara itu, pensyarah dari Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Fakulti Pendidikan UKM, Dr Anuar Ahmad masalah kekurangan guru berpunca daripada kegagalan KPM sendiri dalam merancang dan membuat unjuran perjawatan dengan teratur.

Dia juga menyatakan kekesalan apabila KPM mempertimbang untuk menerima graduan bukan pendidikan bagi mengisi kekosongan guru bagi mata pelajaran tertentu.

"Analoginya, bolehkah kita mengambil graduan bidang lain untuk menjadi doktor, peguam atau jurutera? Mengapa dalam profesyen keguruan ini dibenarkan?

"Bukankah ini satu tindakan yang tidak profesional dan akan menjejaskan kualiti keguruan negara?

"Ini sudah seperti tahap kelas tuisyen swasta dan bukan lagi menggambarkan sebuah institusi sekolah kerajaan," katanya dalam satu kenyataan.

Dr Anuar berkata sepatutnya KPM mengarahkan IPG dan semua Fakulti Pendidikan universiti awam untuk membuat pengambilan yang lebih ramai pelajar pendidikan secara one-off bagi mata pelajaran yang kekurangan guru.

Katanya, meskipun niat dan usaha KPM untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru dianggap baik, malangnya strategi yang digunakan tidak sesuai dan akan menimbulkan lebih banyak masalah kepada struktur dan kualiti keguruan.