Skip to main
Logo Malaysiakini

'Pengusaha sayur di Lojing rugi cecah RM400,000 sehari'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Ketiadaan pusat pengumpulan dan pemprosesan sayur-sayuran di Tanah Tinggi Lojing, Gua Musang, menyebabkan pengusaha berdepan kerugian besar. 

Ketika wabak Covid-19 melanda ditambah dengan sekatan pergerakan (lockdown), lebih 200 tan metrik bekalan sayur dari kawasan itu tidak terjual dan dibuang sekali gus menjejaskan pendapatan kira-kira 200 pengusaha serta pekerja mereka.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pekebun Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing (PPSBL) Yusup Abd Rahman berkata, pihaknya sangat berharap pusat pengumpulan dan pemprosesan itu dibina secepat mungkin selepas permohonan dikemukakan sejak tahun lalu.

"Ketika ini seramai 200 pengusaha di lokasi itu mengalami kerugian kerana berlakunya lambakan sayur-sayuran yang tidak terjual ekoran kekangan pergerakan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan pergerakan penuh.

"Ia membabitkan kerugian sekitar RM300,000 hingga RM400,000 sehari.

"Harga sayur-sayuran juga jatuh kerana bekalan tidak dapat dibawa keluar. Saya harap nasib pengusaha di lokasi itu dapat dibantu dengan pembinaan pusat pengumpulan," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Kota Bharu, hari ini.

Jelasnya, permohonan kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) pada Oktober tahun lalu untuk pembinaan pusat pengumpulan dan pemproses itu dan amat berharap ia dipercepatkan.

Menurutnya lagi, pihaknya mencadangkan beberapa lokasi termasuk di atas tanah seluas lapan hektar dengan kos pembinaan RM30 juta.

"Dengan pembinaan pusat pengumpulan itu dapat membantu pengusaha mengatasi masalah lambakan bekalan, memandangkan Lojing adalah satu kawasan pengeluaran sayur-sayuran yang menyumbang hasil pertanian yang mencapai pengeluaran 80,000 tan setahun.

"Kadar pengeluaran akan terus meningkat kerana banyak lagi tanah yang berpotensi untuk dimajukan termasuk pengamalan kaedah pertanian Vertical Farming System (VFS) yang mula diusahakan oleh petani," kata Yusup.

Sementara itu Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri sedang meneliti cadangan pihak pembekal untuk mewujudkan pusat pengumpulan sayur-sayuran dalam usaha menyelesaikan lambakan bahan mentah itu di pasaran.

"Perkara itu (pusat pengumpulan sayur) akan dilihat dan diteliti semula bagi menentukan sama ada sesuai atau sebaliknya.

"Kita cuba kenal pasti kawasan yang berpotensi dahulu untuk sebarang tindakan lanjut," katanya selepas mengadakan lawatan di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD), di Kampung Kutan Tengah, di Tumpat, hari ini.