Lebih 300 pendatang tanpa izin ditahan dalam operasi bersepadu
Jabatan Imigresen menahan 309 pendatang tanpa izin daripada 715 yang diperiksa dalam operasi bersepadu di kawasan kediaman sebuah tapak pembinaan di sekitar Dengkil, Selangor awal pagi tadi.
Mereka terdiri daripada 280 lelaki dan 29 wanita melibatkan 193 warganegara Indonesia, Bangladesh (102), Myanmar (8), Vietnam (4) dan India (2) berusia lingkungan 20-an hingga 50-an.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam yang mendakwa tempat tinggal mereka dipercayai melanggar prosedur operasi standard (SOP) perintah kawalan pergerakan (PKP).
Ekoran itu, katanya Jabatan Imigresen menyerbu kawasan berkenaan dan mendapati ia tidak mematuhi SOP seperti yang ditetapkan.
“Saya tiba bersama pasukan operasi mendapati petempatan mereka begitu padat, kotor serta tidak mempunyai sistem saliran perparitan yang lengkap, selain mempunyai tempat untuk berkumpul dan makan secara beramai-ramai.
“Selain itu, hasil temu bual saya bersama mereka juga mendapati pendatang itu mengaku tinggal secara beramai-ramai dalam satu bilik iaitu sekitar empat hingga tujuh orang,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian.
Khairul Dzaimee berkata itu menunjukkan warga asing terbabit bebas melakukan apa sahaja di dalam kawasan petempatan tapak pembinaan tanpa sebarang pematuhan SOP PKP.
Katanya memang menjadi tujuan utama Kementerian Dalam Negeri yang mengarahkan Jabatan Imigresen membantu mengurangkan kes-kes positif Covid-19 di tempat kerja warga asing.
Mengulas mengenai bagaimana wanita warga Indonesia menyelinap masuk ke negara ini mengikuti pasangan mereka, Khairul Dzaimee menjelaskan suami mereka masuk terlebih dahulu bekerja di Malaysia sebelum diikuti pasangan masing-masing.
“Wanita warga Indonesia memasuki Malaysia dengan menggunakan Pas Lawatan Sosial dan terus menetap di negara ini melebihi masa yang ditetapkan.
"Selain itu, mereka ini akan tinggal bersama suami mereka yang bekerja secara haram di negara ini.
“Kesemua pendatang tanpa izin ini akan menjalani ujian saringan Covid-19 hari ini yang akan dilaksanakan oleh Pegawai Kesihatan Daerah Putrajaya dan Seremban,” katanya.
Khairul Dzaimee berkata selepas ujian saringan dilaksanakan kesemua mereka akan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 15(1)(c) akta sama sebelum proses proses pengusiran ke negara masing-masing dibuat.
Dalam operasi itu juga, Jabatan Imigresen turut memeriksa 10 warga Rohingya yang merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).
“Daripada 10 pemegang kad UNCHR, hanya dua daripada mereka ditahan kerana memiliki kad palsu manakala yang lain dibebaskan,” katanya.
Operasi bersepadu itu yang bermula pada 12.30 tengah malam dan berakhir 2.30 pagi tadi turut disertai 189 anggota melibatkan pelbagai agensi penguatkuasaan antaranya Pasukan Gerakan Am, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Tenaga Kerja serta Angkatan Pertahanan Awam.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai