PKR minta KKMM jelaskan perkembangan inisiatif Jendela
Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) diminta menjelaskan pencapaian program Jalinan Digital Negara (Jendela) yang menelan belanja RM3.2 bilion.
Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh, berkata situasi terkini unjuran negara mendepani impak wabak Covid-19 menuntut prestasi sektor telekomunikasi yang lebih maju.
Katanya, ketika ini sesi pembelajaran dan ekonomi bergantung kepada prestasi telekomunikasi.
"Menerusi fasa 1 Jendela sasaran yang diletakkan meliputi menambah baik pencapaian internet di kawasan pinggir bandar, bandar dan luar bandar.
"Ia juga menyasarkan kenaikan kadar liputan 4G kepada 96.9 peratus dan purata kelajuan mudah alih internet kepada 35 mbps.
"Namun, laporan media arus perdana serta media sosial menunjukkan masih wujud ramai rakyat yang terkesan akibat kelemahan sistem internet di Malaysia.
"Masih ada guru dan murid yang menghadapi kesukaran untuk menunaikan kewajipan menuntut ilmu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Dijangka dapai masalah
Tambah Syed Ibrahim apa yang dihadapi pelbagai pihak sekarang menunjukkan kemiskinan dan kesenjangan literasi digital masih berlaku dan dibimbangi semakin ketara.
Katanya dia membuat pertanyaan terbuka kepada KKMM dan Suruhanjaya Komunikasi Dan Multimedia Malaysia (SKMM) melalui media selepas Dewan Rakyat masih kekal ditutup daripada bersidang.
Pada Ogos 2020 kerajaan Perikatan Nasional memperkenalkan program Jendela yang bertumpu kepada penambahbaikan komunikasi digital Malaysia.
Menurut Perdana Menteri Muhyiddin Yassin Jendela akan dilaksanakan secara berfasa, dengan fasa pertama sudah dimulakan sekarang.
Untuk fasa pertama kerajaan menginginkan perkhidmatan 4G tersedia buat 96.9 peratus kawasan berpenduduk, menaikkan kelajuan jalur lebar ke 35mbps dan membolehkan 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap dengan kelajuan gigabit.
Syed Ibrahim berkata data dan maklumat yang ditanya itu sangat penting kerana mengambil kira dana sebanyak RM3.2 bilion diperuntukkan bagi inisiatif Jendela.
"Selain itu, inisiatif MyDigital yang menetapkan bayaran perkhidmatan kerajaan dibuat tanpa tunai menjelang 2022 juga dijangka menjadi masalah apabila masih ketara isu capaian internet lemah di banyak kawasan," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai