Skip to main
Logo Malaysiakini

Penjaga kebun didakwa cabul, rogol anak tiri

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Seorang penjaga kebun didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, hari ini, atas lima pertuduhan merogol serta mencabul anak tirinya antara Disember 2018 hingga Mei lalu, dalam kejadian di sebuah rumah di Tanah Merah.

Tertuduh yang berusia 58 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan hakim Badrul Munir Mohd Hamdy.

Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memegang bahagian sulit anak tirinya yang berusia 12 tahun ketika kejadian jam 11 malam di sebuah rumah di Tanah Merah pada Disember 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan pemenjaraan hingga 20 tahun serta sebatan, jika disabit kesalahan.

Hukuman itu juga dibacakan bersama Seksyen 16 akta yang sama iaitu tambahan pemenjaraan tidak melebihi lima tahun serta tidak kurang daripada dua sebatan kerana mempunyai hubungan amanah antara tertuduh dan mangsa.

Bagi pendakwaan kedua hingga kelima, tertuduh didakwa merogol mangsa yang sama yang perhubungan tertuduh tidak dibenarkan bawah undang-undang, hukum agama, adat atau kebiasaan untuk berkahwin dengannya.

Kejadian itu berlaku di lokasi sama masing-masing pada Januari hingga April 2019, Februari 2020, April dan 12 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta 10 kali sebatan minimum, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hajarul Falenna Itah Abu Bakar, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Tertuduh pada awal prosiding kelihatan terpinga-pinga ketika pertuduhan dibacakan dan tidak memahami dengan jelas pendakwaan dihadapi, sekali gus memaksa Badrul Munir memberi penjelasan dalam dialek Kelantan.

Terdahulu, Hajarul Falenna memohon mahkamah supaya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap tertuduh bagi melindungi keselamatan mangsa selain keadaan mangsa yang masih trauma.

Mahkamah kemudiannya tidak menawarkan sebarang jaminan dan menetapkan 18 Julai serahan dokumen serta sebutan semula kes.


Nama tidak disiarkan bagi melindungi identiti mangsa. - pengarang