Skip to main
Logo Malaysiakini

KJ: Bekalan pertama vaksin CanSino tiba Julai, tiada berita mengenai J&J

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Bekalan pertama vaksin CanSino Biologics Covid-19 dijangka tiba ke Malaysia pada Julai, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.

"Kita akan terima bekalan vaksin (dari CanSino) pada bulan Julai. 

"Kita sedang memuktamadkan jadual penghantaran untuk CanSino, tetapi saya yakin vaksin CanSino dapat diagihkan pada penghujung bulan Julai," kata menteri penyelaras program imunisasi Covid-19 kebangsaan itu dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun Khairy berkata kerajaan masih belum mendapat sebarang maklumat daripada fasiliti Covax berhubung tarikh vaksin Johnson & Johnson (J&J) akan dihantar ke Malaysia.

"Bagi vaksin Johnson & Johnson, kita masih belum mendapat respons dari fasiliti Covax.

"Kita telah menggunakan pilihan dengan Covax untuk pilih vaksin Johnson & Johnson, tapi hingga hari ini Covax masih belum mengirim sebarang jadual penghantaran vaksin Johnson & Johnson ke Malaysia," kata Khairy hari ini.

Dia berkata demikian pada sidang media bersama Menteri Kesihatan Dr Adham Baba yang diadakan di Putrajaya dan disiarkan atas talian hari ini.

Dilaporkan pada 15 Jun bahawa Pihak Berkuasa Bekalan Dadah (PBKD) meluluskan vaksin CanSino dan Johnson & Johnson Covid-19 untuk penggunaan bersyarat di Malaysia.

Sementara itu, Khairy berkata Duopharma Biotech Bhd mempunyai masa hingga tiga bulan untuk mendaftarkan vaksin Sputnik V dari Rusia dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) untuk digunakan di Malaysia. PBKD adalah badan eksekutif di bawah NPRA.

Ini selepas Duopharma dilaporkan menandatangani perjanjian dengan kerajaaan pada 1 Jun untuk membekalkan 6.4 juta dos vaksin Sputnik V ke Malaysia.

"Perjanjian itu, yang ditandatangani oleh menteri kesihatan, memberi mereka (Duopharma) tiga bulan untuk mendaftarkan vaksin tersebut ke NPRA.

"Saya faham NPRA masih memerlukan lebih banyak data stability sebelum buat keputusan, tetapi NPRA mengatakan proses pendaftaran akan dipermudah jika vaksin Sputnik V mendapat senarai penggunaan kecemasan dari Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO)," kata Khairy.

Pada masa ini, Sputnik V belum menerima senarai penggunaan kecemasan dari WHO.