Axiata, Telenor, Digi meterai perjanjian penggabungan
Axiata Group Bhd, Telenor Asia Pte Ltd dan Digi.Com Bhd pada Isnin mengumumkan mereka berjaya menyelesaikan proses ketekunan wajar dan memeterai perjanjian urus niaga bagi cadangan penggabungan Celcom Axiata Bhd (Celcom) dengan Digi, yang dirujuk sebagai syarikat gabungan.
Ketiga-tiga pihak menjelaskan perjanjian yang ditandatangani hari ini membuktikan kesungguhan hasrat mereka bagi membentuk penyedia perkhidmatan bertumpuan digital yang lebih kukuh dari segi komersial dan lebih berdaya tahan serta sebagai pengendali telekomunikasi terkemuka untuk memacu aspirasi digital Malaysia.
Mengikut pro forma, berdasarkan laporan kewangan berakhir 31 Dis, 2020, syarikat gabungan itu membentuk sejumlah 19 juta pelanggan dengan pendapatan sekitar RM12.4 bilion, jelas mereka dalam kenyataan bersama yang dikeluarkan pada Isnin.
Axiata dan Telenor juga akan menjadi rakan niaga setara dengan masing-masing menguasai 33.1 peratus pegangan dalam syarikat berkenaan yang akan terus disenaraikan di Bursa Malaysia Securities Bhd.
Syarikat gabungan itu dijangka menjadi antara lima syarikat terbesar disenaraikan di Bursa Malaysia dari segi pemodalan pasaran, dengan ia dinilai pada nilai ekuiti prasinergi gabungan mencecah hampir RM50 bilion selepas mengambil kira terbitan saham biasa baharu dalam Digi, menurutnya.
“Fasa cadangan penggabungan akan melibatkan kerja terperinci berkaitan sinergi dan pelan perniagaan syarikat gabungan, serta sasaran awal menunjukkan potensi nilai pertambahan menerusi sinergi kos dan perbelanjaan modal sekitar RM8 bilion berasaskan nilai semasa bersih,” jelasnya.
Syarikat gabungan tersebut akan menyaksikan penyatuan skala, pengalaman, kompetensi dan kekuatan kewangan kedua-dua kumpulan telekomunikasi global dengan pengetahuan pasaran yang dimiliki kedua-dua syarikat tempatan terkemuka itu.
Ketiga-tiga pihak menambah, syarikat gabungan tersebut, yang disasarkan untuk memenuhi penerimagunaan perkhidmatan digital yang semakin meningkat dan jangkaan terhadap kesambungan yang lebih baik, akan mempunyai kemampuan untuk memanfaatkan kecanggihan teknologi di samping menarik syarikat perkongsian berasaskan Internet global bagi menyediakan pelbagai penyelesaian inovatif kepada pelanggan.
Penggabungan ini akan merancakkan lagi perkembangan 5G, Internet Pelbagai Benda (IoT) dan pengkomputeran awan yang diunjurkan memacu proses digitalisasi merentasi seluruh lapisan masyarakat, menurut mereka.
“Syarikat gabungan itu turut menyasarkan untuk melabur sehingga RM250 juta selama lima tahun bagi membangunkan Pusat Inovasi bertaraf dunia di Kuala Lumpur, menjadi pemangkin kepada transformasi digital Revolusi Perindustrian 4.0 , mengukuhkan ekosistem tempatan dan menjadikan Malaysia sebagai peneraju evolusi digital antarabangsa,” tambahnya.
Menerusi langkah memanfatkan peluang dalam ekonomi digital, Pusat Inovasi tersebut akan melaksanakan kajian terperinci penyelidikan dan pembangunan, membangunkan penggunaan kes 5G sedia ada, membantu syarikat pemula niaga digital dan menyediakan platform bagi memupuk pewujudan tenaga kerja berasaskan pengetahuan sejajar dengan aspirasi MyDIGITAL, jelasnya.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group, Datuk Izzaddin Idris berkata pihaknya sedang mencatatkan kemajuan bagi penggabungan yang sedang diusahakan dengan Telenor dan Digi, sejajar dengan hasrat dan komitmen pihaknya untuk memberikan saranan nilai terbaik kepada pelanggan dalam usaha pendigitalan ekonomi negara.
“Kami berharap dapat memberikan nilai tambah dan pilihan lebih baik yang dapat memberikan manfaat kepada masyarakat, terutama untuk merapatkan jurang di kawasan luar bandar serta membantu perniagaan dari rumah dan perusahaan memanfaatkan peluang baharu dalam persekitaran digital yang pesat ini,” katanya dalam kenyataan yang sama.
Beliau berkata dengan mengandaikan kelancaran peralihan, dalam tempoh pascaintegrasi, Axiata menjangkakan peningkatan EBITDA dan margin aliran tunai dalam entiti gabungan itu seiring dengan komitmen berterusan pihaknya untuk memaksimumkan pembayaran dividen bagi pemegang saham.
Sementara itu, Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Asia bagi Telenor Group, Jørgen A Rostrup berkata dengan penggabungan ini, pihaknya membawa bersama-sama daya saing, kekukuhan kewangan dan skala melangkaui kesambungan selain melaksanakan teknologi yang mampu membawa pelanggan kepada satu pengalaman digital.
Menerusi pengumuman sebelum ini, Axiata dan Telenor bersetuju mencalonkan Izzaddin sebagai pengerusi, Rostrup sebagai timbalan pengerusi, Idham Nawawi sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) dan Albern Murty sebagai timbalan CEO syarikat gabungan itu yang akan dinamakan sebagai Celcom Digi Bhd tertakluk kepada kelulusan pemegang sahamnya.
Dari segi kepentingan Malaysia, Axiata dan pemegang saham institusi utama Malaysia dijangka memiliki lebih 51 peratus kepentingan dalam syarikat itu apabila pelaksanaannya selesai.
Axiata dan Telenor juga menegaskan komitmen mereka dalam melindungi kebajikan pekerja tanpa sebarang pemberhentian secara paksa.
Syarikat gabungan itu akan memberi peluang kepada kakitangannya untuk terus mempertingkatkan diri pada setiap fungsi, membangunkan kecekapan baharu dan menjadi sebahagian daripada pertumbuhannya pada masa hadapan.
“Di akhir proses ini, penggabungan Celcom dan Digi akan memberikan Axiata saham baharu yang diterbitkan dalam Digi, mewakili 33.1 peratus daripada modal saham terbitan Digi yang ditingkatkan, pembayaran tunai RM2 bilion iaitu kira-kira RM1.7 bilion daripada Digi sebagai hutang dalam syarikat gabungan tersebut dan kira-kira RM300 juta daripada Telenor sebagai sebahagian penyamaan pemilikan berdasarkan syarat penggabungan yang dicadangkan,” menurut ketiga-tiga pihak.
Keseluruhan transaksi ini tertakluk kepada persetujuan pemegang saham Axiata dan Digi, kelulusan pihak pengawal selia serta terma dan syarikat lazim yang lain.
Tanpa mengambil kira faktor luar jangka, cadangan penggabungan ini dijangka dapat diselesaikan pada suku kedua 2022.
- Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai