Skip to main
Logo Malaysiakini

'Temu duga untuk moratorium bank macam mohon jawatan pengarah'

Artikel ini sudah 3 tahun diterbitkan

Pelaksanaan moratorium bersasar yang disediakan kerajaan sempena perintah kawalan pergerakan (PKP) 3.0 sekarang mendapat kritikan presiden Umno kerana dianggap memberi kerumitan yang besar kepada pemohon.

Ahmad Zahid Hamidi berkata, dia menerima banyak aduan daripada pemohon yang berkongsi kisah betapa temuduga untuk melayakkan mereka mendapat moratorium itu amat sukar.

"Dia punya temu duga untuk dapatkan moratorium ibarat mahu mohon jawatan pengarah. Tidak semudah seperti dikhabarkan," katanya.

Antara yang ditanyakan, kata ahli parlimen Bagan Datuk itu, ialah jumlah gaji yang diterima, pecahan yang digunakan untuk berbelanja dan sebagainya.

Pada akhirnya kata Ahmad Zahid, bank memaklumkan pemohon terbabit tidak layak kerana baki gaji yang dikira itu dianggap mencukupi untuk membayar hutang kereta.

"Memanglah cukup (untuk bayaran ansuran kereta), tetapi mana cukup tampung keperluan seisi keluarga pada waktu pendapatan isi rumah sedang terjejas," katanya dalam hantaran di media sosial, hari ini.

Tambah Ahmad Zahid bank turut mengenakan beberapa syarat untuk peniaga kecil yang mahu mendapat moratorium selain mereka perlu menunjukkan bukti pendapatan hilang akibat PKP.

Masalahnya kata Zahid, peniaga kecil tiada bukti selain penyata bank dan rekod-rekod dalaman perniagaan.

Ramai daripada peniaga kecil juga, katanya, tidak memiliki slip gaji, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja atau surat diberhentikan kerja kerana bekerja sendiri.

Pemohon lain pula, katanya, diberikan moratorium namun sepanjang tempoh itu mereka diwajibkan membayar faedah daripada pinjaman itu pada setiap bulan.

"Kesimpulan daripada dua kisah ini, pernah dengar peribahasa indah khabar dari rupa? Maksudnya perkara baik yang diperkatakan tidaklah seperti yang digambarkan.

"Dalam fahaman lebih mudah cakap tidak serupa bikin, manis di bibir memutar kata.

"Nak bantu rakyat, bantulah sepenuh hati dan seikhlas mungkin, janganlah terlalu berkira," katanya.